37 maut hospital terbakar di Korea Selatan


Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat dalam kejadian bangunan hospital terbakar di Miryang, Korea Selatan, hari ini. – Gambar AFP, 26 Januari, 2018.

KEBAKARAN besar di hospital di Korea Selatan hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 37 terbunuh, kata pegawai kerajaan dan insiden itu dianggap terburuk dalam tempoh sedekad.

Kira-kira 130 yang lain tercedera dalam kebakaran itu, yang berlaku beberapa minggu sebelum ribuan atlet dan pelawat luar negara dijangka berada di negara berkenaan sempena Olimpik Musim Sejuk.

Sementara Korea Selatan bangkit untuk menjadi ekonomi ke-11 terbesar dunia, sesetengah infrastrukturnya dibina dengan cepat dan mempunyai sejarah bencana yang boleh dielakkan.

Kebakaran hari ini ialah insiden kebakaran besar berlaku di negara itu dalam tempoh sebulan ini, dan pegawai berkenaan mengakui tidak ada sistem perenjis air dipasang di hospital terbabit.

Video dimuat naik ke media sosial menunjukkan seorang pesakit bergantung dengan tali dari helikopter di atas hospital di Miryang, sementara ada juga merangkak keluar dari tingkap untuk turun menggunakan tangga.

Jumlah kematian meningkat sepanjang pagi tadi dengan sesetengahnya berjaya dibawa keluar dari api yang marak, tetapi kemudian meninggal dunia akibat kecederaan.

Pegawai berkata, tiga daripada mangsa yang maut ialah kakitangan perubatan.

“Dua jururawat berkata mereka nampak kebakaran tiba-tiba berlaku di bilik kecemasan,” kata ketua jabatan bomba Choi Man-Woo.

Bangunan enam tingkat itu menempatkan rumah jagaan warga emas dan Hospital Sejong, dan kira-kira 200 orang berada di dalamnya ketika kebakaran berlaku, menurut polis. – AFP, 26 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen