Sydney tamatkan perintah kuarantin hotel untuk pengunjung luar


Sydney menamatkan perintah kuarantin wajib bagi pelancong luar negara mulai bulan depan selepas 19 bulan sempadan negara itu ditutup bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2021.

SYDNEY menamatkan perintah kuarantin wajib bagi pelancong luar negara mulai bulan depan.

Sempadan Australia ditutup selama 19 bulan bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19 menyebabkan puluhan ribu rakyat negara itu terkandas di luar negara.

Ketika ini, sesiapa sahaja yang memasuki Australia perlu mendapatkan kebenaran perjalanan dan mengeluarkan ribuan dolar bagi menjalani kuarantin di hotel selama 14 hari.

Perdana Menteri New South Wales Dominic Perrottet berkata, mulai 11 November, pelancong yang sudah lengkap divaksin perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum menaiki pesawat tetapi tidak perlu dikuarantin sebagai tiba di negara berkenaan.

“Untuk mereka yang sudah lengkap divaksin, Sydney, New South Wales mula dibuka untuk perniagaan,” katanya.

Perintah berkurung selama 100 hari di Sydney ditarik semula dan larangan yang dikuatkuasakan perlahan-lahan dilonggarkan.

Di bawah pelan pasca pandemik nasional, sempadan akan dibuka secara berperingkat pada November dengan hanya warga Australia dan penduduk tetap dibenarkan masuk dengan kuarantin wajib di rumah.

Komen Perrottet menunjukkan larangan tersebut akan dibatalkan lebih cepat dari yang dirancang dengan pelancong dapat ke Australia dan syarat kuarantin dihapuskan.

Selama 19 bulan sekatan pergerakan menyebabkan industri pelancongan Australia terjejas dengan jumlah pengunjung turun 98% sejak sebelum wabak, menurut statistik Tourism Australia.

Pengumuman itu juga meningkatkan harapan penduduk Sydney akan dibenarkan mengunjungi Paris tetapi tidak ke Perth kerana sempadan Australia Barat dengan negara-negara lain tetap ditutup. – AFP, 15 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen