Taufan Pamela badai Mexico, ribuan penduduk terpaksa bergelap


Taufan Pamela yang melanda Mexico menyebabkan berlakunya banjir susulan peningkatan paras air di sungai San Pedro dan Acaponeta. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2021.

TAUFAN Pamela melanda Mexico menyebabkan bangunan rosak dan hampir 200,000 isi rumah di beberapa negeri mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor Sputnik.

Menurut Suruhanjaya Elektrik Persekutuan (CFE) Mexico semalam, anggota penyelamat dan juruteknik sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik di negeri terjejas iaitu Sinaloa, Nayarit, Durango, dan Coahuila.

“Sejumlah 195,990 pengguna terjejas dan setakat ini 50 peratus bekalan elektrik telah dapat dipulihkan,” menurut CFE. 

Pamela mula membadai Sinaloa pada Rabu pagi sebelum taufan itu bergerak ke negeri-negeri lain, menurut Pusat Taufan Mexico. 

Pihak berkuasa tempatan di Nayarit mengeluarkan amaran banjir susulan peningkatan paras air di sungai San Pedro dan Acaponeta.

Operasi memindahkan penduduk yang berada di zon berisiko masih diteruskan. – Bernama, 15 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen