Kementerian akan siasat rakaman audio perbualan Ismail dan Idris


Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata syarikat telekomunikasi juga akan disiasat sekiranya terlibat dalam merakam perbualan pelanggan mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2021.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia akan menyiasat rakaman audio yang didakwa melibatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas ketua menteri Melaka Idris Haron, kata timbalan menterinya Zahidi Zainul Abidin.

Ahli Parlimen Padang Besar itu turut meluahkan kekecewaannya berhubung kebocoran rakaman berkenaan dan mendakwa ia adalah perbuatan individu yang berniat untuk mencemarkan reputasi ahli politik.

“Majlis Kerja Tertinggi Umno berasa kecewa dengan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab yang suka merekod perbualan yang sepatutnya menjadi perkara peribadi.

“Kita perlu siasat perkara ini kerana insiden ini dulu pernah berlaku kepada Najib Razak, Anwar (Ibrahim) dan Zahid Hamidi. Dan sekarang, perdana menteri sendiri.

“Ini amat memalukan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Umno hari ini.

Zahidi juga berkata kementerian akan turut menyiasat syarikat telekomunikasi sekiranya mereka terlibat dalam merakam perbualan pelanggan mereka.

Rakaman klip audio suara yang dikatakan Ismail sedang berbincang dengan Idris untuk menarik sokongan untuk kerajaan negeri Melaka yang diterajui Sulaiman Md Ali.

Rakaman audio yang dikatakan Ismail itu mengatakan bahawa beliau telah mendapat tekanan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan pembangkang, dan meminta Idris untuk menghentikan keputusannya.

Bagimanapun Idris dalam klip berkenaan enggan berganjak dengan keputusan itu dan mengatakan adalah mustahil untuk bekerjasama dengan ketua menteri.

Zahidi berkata, tidak perlu laporan polis mengenai perkara berkenaan kerana ia akan menyulitkan.

“Kami akan menyiasat perkara ini tetapi perlu ada laporan polis dibuat kerana ia akan menyulitkan.

“Ini telah menjadi trend dan tidak baik kerana ia adalah pencerobohan privasi. Kementerian saya bertanggungjawab dalam hal ini.

“Mustahil perdana menteri adalah orang yang merakam perbualan. Ini adalah perbuatan orang lain dan mereka menggunakan ini sebagai kempen politik menjelang pilihan raya,” katanya. – 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen