Pakar gesa pengeluar sarung tangan dikenakan cukai keuntungan luar biasa


Ragananthini Vethasalam Nabihah Hamid

Pengeluar sarung tangan meraih keuntungan luar biasa sepanjang tempoh pandemik Covid-19 disebabkan kenaikan permintaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA perlu mengenakan cukai terhadap pembuat sarung tangan yang meraih keuntungan besar ketika pandemik Covid-19 untuk menambah pendapatan sendiri agar wang berkenaan boleh digunakan untuk meneruskan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, kata pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Pengarah urusan DM Analytics itu berkata hujah mengenakan cukai berkenaan ke atas perniagaan yang membuat keuntungan luar biasa akan menghakis sentimen pelabur adalah tidak masuk akal. 

“Ini sesuatu perkara yang boleh dibuat. Ia boleh dilakukan,” kata Muhammed kepada The Malaysian Insight.  

Beliau berkata hujah bahawa ia tidak dapat dilakukan kerana ia akan menyebabkan pelabur lari adalah tidak masuk akal kerana sudah ada kenaikan cukai ke atas minyak sawit sejak 1998 dan IPP (pengeluar tenaga bebas) sejak 2008.

“Apa yang istimewa pendapatan lumayan syarikat sarung tangan?

“Ia bukan sebab mereka pengeluar yang hebat tetapi ia kerana pandemik dan rakyat sengsara dan mereka membuat keuntungan. Ia bukan macam mereka sudah jumpa penawar kanser,” kata Muhammed. 

Beliau juga berkata dengan tidak mengenakan cukai tinggi kepada pembuat sarung tangan juga dilihat seolah-olah diskriminasi terhadap minyak sawit dan pemain industri IPP. 

Pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berkata langkah itu perlu bagi memastikan bantuan dapat diteruskan kepada rakyat yang memerlukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2021.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata tiada perancangan mengenakan cukai keuntungan luar biasa kepada pengeluar sarung tangan kerana kenaikan permintaan sarung tangan getah semasa wabak itu menimbulkan kesan limpahan terhadap ekonomi dalam bentuk cukai langsung dan tidak langsung.

Tambahnya, syarikat boleh melaburkan semula keuntungan mereka ke dalam perniagaan dan ini akan mendorong pelabur mengembangkan perniagaan mereka di negara ini.

Tahun lalu, Tengku Zafrul berkata mengenakan cukai keuntungan akan memberi isyarat yang salah dan akan menyebabkan pelabur lari.

Muhammed berkata rejim cukai negara perlu disemak semula bagi memastikan ia adil dan pendapatan perlu dijana untuk meneruskan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. 

“Kalau ada sistem yang lebih adil, kita dapat lebih pendapatan maka kita dapat membantu program bantuan orang tua dan orang susah,” katanya. 

Beliau berkata golongan berpendapatan rendah ditekan tetapi golongan kaya tidak terjejas di bawah sistem percukaian semasa, dan menambah percukaian adalah sesuatu yang gagal ditangani Rancangan Malaysia ke-12. – 15 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen