4 pegawai Mesir dibicara atas pembunuhan pelajar Itali 


Pembunuhan Giulio Regeni mencetuskan bantahan secara besar-besaran di Rom, Itali.– Gambar EPA, 14 Oktober, 2021.

EMPAT pengawal keselamatan Mesir yang didakwa membunuh dengan kejam pelajar warga Itali Giulio Regeni dibicarakan secara absentia di Rom pada Khamis. 

Pegawai terbabit berdepan dakwaan menculik, merancang untuk membunuh serta mencederakan mangsa dalam kes yang mencetuskan kemarahan warga Itali. 

Ia turut memberi kesan kepada hubungan diplomatik dengan Mesir. 

Regeni, 28, sedang menjalankan penyelidikan untuk pengajian kedoktoran di Universiti Cambridge ketika diculik pada Januari 2016. 

Terdapat kesan penderaan pada mayatnya yang ditemui di pinggir bandar Kaherah. 

Menteri Luar Itali Luigi Di Maio mengalu-alukan perbicaraan itu susulan penemuan mayat Giulio. Kes itu sebelum ini dilihat sukar untuk diselesaikan. 

Pejabat Perdana Menteri Mario Draghi pada Rabu mengumumkan kerajaan turut menyertai perbicaraan itu sebagai plaintif awam, sebagai tanda sokongan kepada keluarga Regeni.

Namun perbicaraan itu mungkin gagal sebelum ia bermula. 

Mahkamah perlu memutuskan sama ada keempat suspek terbabit tahu mengenai perbicaraan melibatkan mereka, sebagaimana yang dituntut undang-undang. Mesir enggan memberikan butiran untuk menghubungi mereka. – AFP, 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen