SERAMAI 10 jemaah maut dalam serangan pejuang pemisah Islam di sebuah masjid berhampiran kampung Abankor di wilayah Tillaberi, Isnin lalu.
Pegawai di Banibangou berkata penyerang yang menunggang motosikal melakukan serangan ketika penduduk sedang mendirikan solat Maghrib.
Penduduk di Tondiwindi mengesahkan serangan itu dan jumlah yang terkorban.
Stesen radio tempatan, Studio Kalangou melaporkan penduduk Abankor berkata seorang penduduk cedera dan 10 maut dalam serangan itu.
Sejak awal tahun ini, serangan pejuang pemisah meningkat di sekitar Banibangou dan bandar berhampiran wilayah Tillaberi.
Kawasan terbabit sering menjadi sasaran serangan pejuang di Sahara dan kumpulan menyokong yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.
Selain berdepan serangan kumpulan pemisah, wilayah itu mengalami masalah kekurangan bekalan makanan.
Awal tahun ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata wilayah Tillaberi berdepan krisis makanan terbesar dengan hampir 600,000 penduduk terdedah kepada kebuluran.
“Kebuluran dan serangan berterusan kumpulan pejuang pemisah yang menyasarkan petani dan orang awam sangat membimbangkan ketika bekalan makanan terjejas,” kata pegawai penyelaras kemanusiaan PBB. – AFP, 14 Oktober, 2021.
Komen