KAJIAN awal dari Amerika Syarikat (AS) mendapati penerima vaksin Covid-19 Johnson & Johnson (J&J) mungkin sesuai untuk menerima dos penggalak jenis Pfizer atau Moderna.
Kajian dibiayai Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) bertujuan melihat kesesuaian vaksin campuran yang menggabungkan vaksin keluaran berbeza untuk menjadi dos penggalak walaupun perkara itu masih dilarang di AS.
Kajian itu dilakukan terhadap 458 golongan dewasa yang divaksin dengan satu daripada tiga jenis vaksin diluluskan AS masing-masing Pfizer, Moderna atau J&J dalam tempoh sekurang-kurangnya 12 minggu.
Kumpulan ini dipecahkan kepada tiga kumpulan baharu untuk menerima salah satu daripada vaksin sedia ada sebagai penggalak.
Setiap kumpulan terdiri daripada 50 individu dan saintis kemudian menganalisis tahap antibodi penerima selepas 15 hari suntikan dos penggalak itu diberikan.
Bagi mereka yang menerima vaksin awal J&J, tahap antibodi didapati meningkat empat kali lebih tinggi selepas menerima dos penggalak manakala penerima dos penggalak Pfizer menunjukkan peningkatan 35 kali ganda dan 76 kali ganda selepas menerima dos penggalak Moderna.
Kajian itu juga mendapati, tahap antibodi mereka yang menerima vaksin Moderna lebih tinggi tanpa mengira jenis dos penggalak diterima berbanding dengan mereka yang awalnya disuntik vaksin Pfizer atau J&J.
Berdasarkan ujian itu juga, ia tidak menunjukkan tanda kebimbangan keselamatan yang dikenal pasti selepas suntikan diberikan namun setakat ini, kajian semula belum dilakukan.
Jumlah peserta juga kecil dan tindak balas imun dapat berkembang dari semasa ke semasa iaitu melebihi 15 hari dalam kajian.
Profesor di Kolej Perubatan Baylor Dr Peter Hotez di Twitter mengingatkan semua pihak supaya tidak terpengaruh dengan ujian terbabit. – AFP, 14 Oktober, 2021.
Komen