PERNIAGAAN di Johor Bahru masih menunggu untuk pembukaan semula sempadan Singapura-Malaysia susulan perjalanan rentas negeri dan luar negara di seluruh negara kini dibenarkan, kata kumpulan peniaga.
Ekonomi tempatan sangat bergantung kepada perbelanjaan warga Singapura di negeri itu selain kuasa membeli daripada kalangan rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan.
Bagaimanapun, sekatan perjalanan rentas sempadan sejak 19 bulan lalu akibat pandemik Covid-19 menjejaskan banyak perniagaan.
Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Cina Johor Bahru (JBCCCI) Low Kueck Shin berkata 80% daripada perniagaan kecantikan, katering, pasar raya besar dan hiburan bergantung kepada pelanggan ini.
“Ini adalah kumpulan pengguna yang besar, datang ke Johor Bahru setiap hujung minggu, sama ada untuk bercuti atau makan-makan bersama keluarga, atau membeli-belah,” kata Low kepada The Malaysian Insight.
Pasukan Petugas Khas Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas) berkata 250,000 rakyat Malaysia terkandas di Singapura sejak 18 Mac tahun lalu, menyebabkan kerugian RM14 bilion kepada Malaysia.
Ramai antara mereka yang terpaksa menanggung rindu dan kesukaran berjauhan daripada keluarga di Malaysia.
Menteri kesihatan, kewangan dan pengangkutan Singapura berkata kedua-dua negara sudah berbincang bagaimana untuk membuka semula perjalanan rentas sempadan dengan semalam.
Singapura membenarkan perjalanan rentas sempadan hanya untuk alasan kerja dan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal. Individu yang mahu melakukan rentas sempadan perlu menjalani kuarantin 10 hari sebaik saja kembali ke Singapura.
Republik itu membenarkan perjalanan bebas kuarantin di bawah skim Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) untuk lapan negara bermula 19 Oktober, tetapi Malaysia tidak termasuk dalam senarai itu.

Bagaimanapun, apabila sempadan dibuka sepenuhnya, Penasihat IKS Johor Selatan Teh Kee Sin berkata sekurang-kurangnya 20% syarikat dalam lima sektor ekonomi utama di Johor Bahru mungkin sudah ditutup.
Lima sektor utama itu ialah pelancongan, jualan, katering, hotel dan industri perkhidmatan.
“Sejak 18 Mac tahun lalu, sekurang-kurangnya 80% perniagaan yang disebut itu sudah terjejas. Apatah lagi, kebanyakan sektor itu membabitkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
“Rizab mereka sudah hampir habis dan bila sempadan dibuka semula pun, mereka tidak aka nada wang untuk beroperasi,” kata Teh.
Beliau menganggap Johor Bahru kini “kawasan bencana ekonomi” kerana pandemik yang melanda dan kebergantungannya kepada Singapura.
“Epidemik ini menjejaskan industri pelancongan di Johor Bahru, di mana sebelum ini, hotel biasanya penuh pada hujung minggu.
“Industri jualan juga mati kerana pusat beli-belah tidak dapat beroperasi tanpa pelanggan warga Singapura dan kuasa beli rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Dalam industri perkhidmatan seperti baiki kereta, cuci kereta, pawagam dan salun kecantikan, yang semuanya popular dalam kalangan pelanggan rakyat Singapura, juga sangat terjejas,” kata Teh.
Beliau berkata walaupun keadaan di Malaysia nampak lebih baik, Singapura masih berdepan dengan lonjakan kes, meskipun kadar vaksinasi di sana tinggi.
“Pada awalnya, saya berharap dan menjangkakan sempadan akan dibuka. Namun, nampaknya agak sukar dengan kes yang dilaporkan di Singapura sejak akhir-akhir ini.
“Saya menjalangkan walaupun sempadan dibuka semula nanti, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun lagi untuk ekonomi Johor Bahru kembali kepada keadaan pra pandemik,” katanya.
Naib Presiden Persatuan Usahawan Cina Johor Edward Chia berkata banyak perniagaan kini menggantung kain rentang untuk dijual atau disewa di depan kedai masing-masing.
Katanya, penutupan sempadan yang masih berlaku juga menjejaskan pasangan yang terpisah dan menyebabkan masalah keluarga. – 15 Oktober, 2021.
Komen