TIADA kemungkinan letusan gunung berapi di Kepulauan Canary Sepanyol berakhir dalam jangka masa pendek atau sederhana, kata pakar pada Rabu selepas tiga setengah minggu aktiviti berlaku.
Di gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma, “tahap sulfur dioksida saat ini tidak membuat kita berfikir letusan akhir akan berlaku dalam jangka pendek atau sederhana,” kata Maria Jose Blanco, jurucakap kumpulan vulkanologi Canaries Pevolca.
Pakar lain berkata ia mungkin berlangsung selama beberapa minggu atau bahkan berbulan lamanya.
Bermula pada 19 September, letusan terbaru adalah yang ketiga dalam seabad bagi La Palma, sebuah pulau yang mempunyai 85,000 penduduk, selepas San Juan pada 1949 dan Teneguia pada 1971.
“Aktiviti gunung berapi tidak berhenti dan kita tidak dapat melihat penurunan pada beberapa hari akan datang,” kata Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Rabu, dalam kunjungan keempatnya ke pulau itu sejak letusan.
Setakat ini tiada yang terkorban disebabkan aliran lava yang berterusan, tetapi ia sudah meliputi sekitar 640 hektar dan memusnahkan 1,400 bangunan, 764 daripadanya kediaman, kata pengarah teknikal Pevolca, Miguel Angel Morcuende.
Lebih 6,000 orang sudah dipindahkan, ratusan mereka meninggalkan semua barangan yang musnah akibat lava.
Khidmat penerbangan masih diteruskan di lapangan terbang La Palma, yang sudah ditutup dua kali semasa letusan kerana abu gunung berapi.
Ramalan cuaca menunjukkan ia masih boleh dibuka sekurang-kurangnya empat hari lagi. – AFP, 14 Oktober, 2021.
Komen