15 pendatang lemas di perairan Libya


Libya sering menjadi lokasi pelepasan utama bagi pendatang menyeberangi Laut Tengah untuk ke Eropah. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2021.

SEBANYAK 15 pendatang mati lemas selepas dua bot karam di perairan Libya dalam tragedi terbaharu di laluan laut berbahaya ke Eropah, kata agensi pelarian PBB lewat Isnin.

“Mayat 15 orang ditemui ketika 2 bot tiba di Pangkalan Tentera Laut Tripoli petang ini,” tulis UNHCR Libya di Twitter.

“Para penumpang berlepas dari Zwara dan Alkhoms pada malam sebelumnya,” tambahnya.

Agensi itu berkata 177 mangsa yang selamat menerima bantuan dan rawatan perubatan daripada UNHCR dan pihaknya.

Ia menulis gambar menunjukkan mangsa terselamat tiba di pangkalan memakai selimut.

Kejadian itu adalah yang terbaru dalam beberapa kejadian di pesisir negara Afrika Utara.

Libya adalah lokasi utama bagi pendatang terdesak yang ingin ke Eropah, kebanyakan mereka berasal dari negara Afrika sub-Sahara.

Puluhan ribu menaiki bot yang tidak layak berlayar setiap tahun dalam usaha untuk sampai ke pantai Itali yang sejauh 300km.

Sekurang-kurangnya 1,010 migran meninggal dunia di laut ketika dalam perjalanan ke Eropah antara awal tahun hingga akhir Ogos, meningkat dari 398 pada tempoh yang sama tahun lalu, menurut angka diterbitkan oleh Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

Kematian terbaru berlaku beberapa hari selepas enam migran ditembak mati di sebuah pusat penahanan yang terlalu padat di Tripoli susulan penangkapan besar-besaran yang menyasarkan pendatang.

Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata 5,000 pendatang dan pelarian ditahan dalam “penangkapan besar-besaran yang ganas” dan dikurung dalam keadaan yang teruk.

Pusat penahanan pendatang Libya sering mendapat kritikan daripada agensi PBB dan kumpulan hak asasi manusia kerana berlakunya keganasan, serangan seksual dan rasuah. – AFP, 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen