5 maut serangan anak panah di Norway


Anak panah melekat di dinding milik penyerang dalam kejadian di Kongsberg, Norway, yang membunuh 5 individu. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2021.

SEORANG lelaki bersenjatakan busur dan anak panah membunuh lima individu dan mencederakan dua yang lain di Norway pada Rabu, kata polis.

Menurut polis motif serangan, yang berlaku di beberapa lokasi di bandar Kongsberg, masih dalam siasatan.

Pegawai polis Oyvind Aas berkata beliau dengan berat hati mengesahkan lima orang meninggal dunia dan dua yang cedera berada di unit rawatan rapi tetapi tidak berada dalam keadaan bahaya, katanya pada sidang akhbar.

Seorang yang cedera adalah pegawai polis tidak bertugas yang kebetulan berada di kedai, satu dari beberapa lokasi serangan.

“Lelaki yang melakukan perbuatan ini sudah ditangkap oleh polis dan, menurut maklumat kami, hanya seorang yang terlibat,” kata Aas.

“Lelaki yang ditangkap belum disoal dan masih terlalu awal untuk mengatakan apakah motifnya,” katanya sambil menambah terdapat pelbagai kemungkinan.

Saluran TV2 berkata penyerang yang ditahan adalah rakyat Norway dan mempunyai sejarah perubatan - maklumat yang tidak disahkan oleh pihak berkuasa.

Seorang wanita yang menyaksikan serangan itu, Hansine, berkata kepada TV2 beliau mendengar kekecohan dan kemudian melihat seorang wanita sedang berlindung dan “seorang lelaki berdiri di satu sudut dengan anak panah di bahu dan busur di tangannya”.

“Selepas itu, saya melihat orang ramai berlari menyelamatkan diri. Antaranya seorang wanita yang memegang anak,” katanya.

Polis berkata suspek dibawa ke balai polis di bandar Drammen berdekatan tetapi tidak memberikan maklumat lain mengenai lelaki itu.

Polis dimaklumkan mengenai serangan itu pada jam 6.13 petang (1613 GMT) di bandar yang mempunyai 25,000 penduduk sekitar 80km barat ibu kota Oslo. 
Suspek ditangkap pada jam 6.47 petang.

“Kejadian ini mengejutkan kami,” kata Perdana Menteri Erna Solberg pada hari terakhirnya di pejabat.

Pada Khamis, beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Jonas Gahr Store.

Di Kongsberg, polis mengawal lokasi serangan sambil menggesa orang ramai tidak keluar rumah.

Norway jarang mengalami keganasan seperti itu, tetapi 10 tahun yang lalu pelampau kanan Anders Behring Breivik membunuh 77 orang dalam kejadian pembunuhan terburuk di negara itu sejak Perang Dunia II.

Breivik pada mulanya meletupkan bom di Oslo di sebelah bangunan yang menempatkan pejabat perdana menteri, kemudian melakukan tembakan di kem musim panas untuk belia sayap kiri di pulau Utoya.

Dalam serangan sayap kanan yang lain, Philip Manshaus  melakukan serangan tembakan ke sebuah masjid di pinggir Oslo pada Ogos 2019 sebelum ditumpaskan oleh jemaah, tanpa ada yang cedera parah.

Namun, beliau sebelum itu menembak mati adik tirinya, yang diambil sebagai anak angkat dari China, disifatkan pihak pendakwaan sebagai “tindakan rasis”.

Beberapa serangan pelampau agama yang dirancang juga digagalkan oleh pasukan keselamatan. – AFP, 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen