Polis AS tahan bapa kanak-kanak tembak mati ibu ketika 'live' di Zoom 


Seorang ibu muda maut ditembak anak lelaki berusia 2 tahun dengan pistol yang disimpan bapa dalam beg galas bertema siri televisyen kanak-kanak 'Paw Patrol'. – Gambar AFP, 14 Oktober, 2021.

BAPA kepada seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang menembak mati ibunya di kepala ketika bermesyuarat melalui aplikasi Zoom, ditangkap di Florida kerana tidak meletakkan senjata itu jauh daripada capaian anaknya.

Veondre Avery, 22, yang didakwa melakukan pembunuhan dan kegagalan menyimpan senjata api dengan selamat, ditahan pada hari Selasa, kata polis dan seorang pendakwa raya.

Avery menyimpan senjata itu - berisi peluru dan tanpa langkah keselamatan - di dalam beg galas bertema siri televisyen kanak-kanak “Paw Patrol.”

Ibu kanak-kanak lelaki berusia 21 tahun itu, Shamaya Lynn, ditembak di rumah mereka pada 11 Ogos ketika mengadakan mesyuarat Zoom.

Menerusi panggilan telefon ke perkhidmatan kecemasan, seorang rakan sekerja Lynn dapat didengar berkata: “Seorang daripada gadis itu tidak sedarkan diri, beliau mengalami pendarahan. Kamera terpasang. Bayinya menangis di belakang,” menurut akhbar Orlando Sentinel.

Avery yang tiada di rumah ketika kejadian turut menghubungi perkhidmatan kecemasan sebaik pulang, meminta mereka cepat, menurut akhbar itu.

Ketika pegawai polis tiba, mereka melihat Avery cuba menyelamatkan kekasihnya di apartmen mereka di Altamonte Springs, sebuah bandar di utara Orlando. 

Bagaimanapun, beliau diisytiharkan meninggal dunia tidak lama kemudian oleh paramedik.

Tarikh perbicaraan belum ditetapkan, menurut kenyataan Peguam Daerah Dan Faggard.

Kejadian tembakan secara tidak sengaja oleh kanak-kanak pernah berlaku di Amerika Syarikat (AS). 

Pada akhir September, seorang budak lelaki berusia dua tahun secara tidak sengaja membunuh dirinya di Texas selepas menemui pistol di dalam beg galas seorang ahli keluarganya.

“Setiap tahun, ratusan kanak-kanak di AS mendapat akses kepada senjata yang tidak disimpan dengan rapi, dimuatkan di dalam almari dan laci, beg galas dan beg tangan, atau hanya dibiarkan begitu sahaja,” kata laporan terbaru oleh Everytown For Gun Safety, kumpulan penyokong kawalan senjata api.

Menurut organisasi itu, insiden tembakan secara tidak sengaja oleh kanak-kanak bawah umur menyebabkan 879 kematian sejak 2015 dan 114 tahun ini. – AFP, 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen