Lelaki tembak diri sendiri selepas tembak ibu mentua 


SEORANG lelaki yang melepaskan beberapa das tembakan menggunakan selaras karbin M4 di sebuah rumah di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah di Kuching hari ini sehingga mencederakan ibu mentuanya, nekad menembaknya mati dirinya sendiri.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata berdasarkan siasatan awal polis, suspek yang bertugas sebagai anggota pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Daerah Bau telah meminjam kereta kawan untuk ke  lokasi kejadian.

“Difahamkan sebelum kejadian berlaku, suspek sedang berbincang mengenai proses perceraiannya, suspek kemudian secara tiba-tiba telah marah lalu bertindak mengambil senjata jenis M4 yang disimpannya dalam kenderaan yang dipandu dan melepaskan beberapa das tembakan di dalam rumah tersebut, iaitu di bahagian ruang tamu dan dapur.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari, ibu mentua suspek berusia 58 tahun terkena tembakan di bahu sebelah kiri. Suspek kemudian menuju ke hadapan rumah lalu menembak dirinya sendiri di bahagian dagu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai. – Bernama, 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen