Ahli Parlimen Labuan didakwa esok, kata sumber SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2021.

AHLI Parlimen Labuan Rozman Isli akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas kesalahan berkaitan Pelabuhan Labuan, kata sumber agensi antirasuah dan peguamnya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman mengesahkan kepada The Malaysian Insight anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Dia diminta (oleh SPRM) untuk hadir (ke mahkamah) esok,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Rafique juga berkata pertuduhan ke atas Rozman mempunyai kaitan dengan isu Pelabuhan Labuan.

Sumber SPRM mengesahkan pendakwaan esok selepas agensi itu mengeluarkan jemputan kepada media untuk membuat liputan, bagaimanapun enggan mengesahkan butiran pertuduhan.

“Dengan ini adalah dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa terhadap seorang Ahli Parlimen pada 14 Oktober 2021, Khamis, 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” kata jemputan itu.

Pada 2019, SPRM Sabah memulakan siasatan terhadap proses pemberian tender Pelabuhan Labuan susulan aduan daripada Labuan Liberty Port Management (LLPM) mengenai wujud ketirisan dalam proses itu.

Rozman menang kerusi Parlimen Labuan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket Barisan Nasional, mengalahkan tiga calon lain dengan majoriti 1,450 undi.

Lima bulan kemudian, pada Oktober 2018, beliau keluar Umno untuk menyertai Warisan dengan alasan perlu bersama kerajaan demi kesejahteraan pengundi dan penduduk di Labuan. β€“ 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen