CHINA pada Selasa mengumumkan akan mewujudkan taman negara kumpulan pertama terdiri enam taman negara yang bertujuan untuk memelihara sistem ekologi bagi memastikan warisan alam sekitar dapat terus dinikmati generasi akan datang.
Bagi kumpulan pertama itu ia terdiri Taman Negara Sanjiangyuan, Panda Gergasi, Harimau Siberia, Harimau Bintang, Hutan Hujan Tropika Hainan, dan Gunung Wuyi.
Taman negara itu melibatkan 10 provinsi dan wilayah iaitu Qinghai, Tibet, Sichuan, Shaanxi, Gansu, Jilin, Heilongjiang, Hainan, Fujian dan Jiangxi.
Kesemua taman negara itu terletak di kawasan strategik ekologi seluas 23,000 kilometer persegi dan 30 peratus daripadanya terdiri haiwan dan tumbuhan liar yang dilindungi di peringkat negara.
Taman Negara Sanjiangyuan yang terletak di kawasan pedalaman Dataran Tinggi Qinghai-Tibet seluas 190,700 kilometer persegi adalah bertujuan untuk memberi perlindungan komprehensif terhadap sumber Sungai Yangtze, Kuning dan Lancang.
Kawasan itu dikelilingi gunung glasier dan salji, tanah lembab beraltitud tinggi, padang pasir Gobi dan padang rumput Alpine.
Taman Negara Sanjiangyuan juga kaya dengan kepelbagaian ekologi serta fungsinya yang lengkap, antara contoh perlindungan ekosistem Alpine di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet yang dikenali sebagai kutub ketiga bumi.
Sementara itu, Taman Negara Panda Gergasi pula merentasi tiga provinsi iaitu Sichuan, Shaanxi dan Gansu dengan keluasan 22,000 kilometer persegi, adalah habitat kepada 70 peratus panda liar di China.
Taman Negara Harimau Siberia dan Harimau Bintang merangkumi provinsi Jilin dan Heilongjiang dan bersempadan dengan Rusia dan Korea Utara yang mempunyai kawasan perlindungan seluas 14,100 kilometer persegi.
Selain sebagai kawasan perlindungan paling besar untuk harimau Siberia dan harimau bintang liar, ia juga satu-satunya kawasan mempunyai kelompok keluarga haiwan yang lengkap di China.
Taman Negara Hutan Hujan Tropika di provinsi Hainan pula terletak di tengah Pulau Hainan, selatan China.
Dengan keluasan kawasan perlindungan sebanyak 4,269 kilometer persegi, ia mempunyai hutan hujan tropika berbentuk pulau paling lengkap di China dan satu-satunya habitat untuk Hainan Gibbon, iaitu haiwan primat paling terancam dan hampir pupus di dunia.
Taman Negara Gunung Wuyi pula, dikenali sebagai khazanah flora dan fauna di kawasan tenggara negara ini, dan tersenarai sebagai Warisan Budaya dan Warisan Alam Unesco selain dianggap sebagai contoh simbiosis antara manusia dengan alam sekitar. – Bernama, 13 Oktober, 2021.
Komen