KERAJAAN baharu Taliban di Afghanistan mengingatkan wakil Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sekatan berterusan terhadap mereka akan melemahkan keselamatan dan mencetuskan gelombang pelarian ekonomi.
Pemangku menteri luar Amir Khan Muttaqi memberitahu para diplomat Barat dalam rundingan di Doha, “melemahkan kerajaan Afghanistan bukanlah kepentingan sesiapa pun kerana kesan negatifnya secara langsung akan mempengaruhi dunia dalam sektor keselamatan dan pelarian ekonomi,” menurut satu kenyataan pada Selasa.
Taliban menggulingkan bekas kerajaan Afghanistan yang disokong AS pada Ogos lalu selepas konflik selama dua dekad, dan telah mengisytiharkan negara itu sebagai negara Islam yang ditadbir berdasarkan tafsiran garis keras undang-undang syariah.
Namun usaha untuk menstabilkan negara, yang masih menghadapi serangan dari kumpulan pelampau Negara Islam-Khorasan, telah terganggu oleh sekatan antarabangsa, mengakibatkan bank kehabisan wang tunai dan gaji penjawat awam tidak dibayar.
Menurut kenyataan jurucakapnya, Muttaqi memberitahu kepada pertemuan Doha: “Kami gesa dunia hentikan sekatan yang ada dan biarkan bank beroperasi secara normal sehingga kumpulan amal, pertubuhan dan kerajaan dapat bayar gaji kepada pekerja mereka dengan simpanan sendiri dan bantuan kewangan antarabangsa.”
Negara-negara Eropah khususnya bimbang jika ekonomi Afghanistan runtuh, sebilangan besar pelarian akan lari ke benua itu, sekali gus memberi tekanan kepada negara-negara jiran seperti Pakistan dan Iran dan juga sempadan EU.
Washington dan EU berkata mereka bersedia menyokong inisiatif kemanusiaan di Afghanistan, namun berhati-hati untuk beri sokongan langsung kepada Taliban tanpa jaminan ia akan hormati hak asasi manusia, khususnya hak wanita. – AFP, 13 Oktober, 2021.
Komen