USAHA multilateral global, kerjasama dan solidariti antarabangsa sangat penting untuk mengatasi masalah yang sedang melanda dunia moden, termasuk pandemik Covid-19 dan ketegangan politik, menurut satu kenyataan sempena mesyuarat peringkat tinggi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Belgrade.
Kenyataan itu dibaca Menteri Luar Azerbaijan Jeyhun Bayramov, selaku negara yang menjadi pengerusi pergerakan itu di hadapan kira-kira 500 perwakilan dari lebih 100 negara anggota NAM dan pemerhati bersama dengan sembilan organisasi antarabangsa, lapor Xinhua.
“Setelah menganalisis keadaan antarabangsa, ketegangan dan krisis politik yang semakin meningkat, undang-undang antarabangsa tidak dihormati, peningkatan diskriminasi, perkauman dan xenofobia, pandemik Covid-19 yang masih menular dan kesan negatifnya terhadap keadaan sosioekonomi semua negara, perubahan iklim dan masalah lain yang menjadi kebimbangan global, perwakilan yang mengambil bahagian menekankan pentingnya menggerakkan usaha global dalam bidang multilateralisme, kerjasama dan solidariti antarabangsa,” kata Bayramov.
Menurut kenyataan itu, NAM juga mengutuk tindakan negara kaya yang menyimpan stok vaksin dan menyeru pengagihan yang adil ke seluruh dunia.
“Perwakilan yang mengambil bahagian meminta semua negara dan pemegang berkepentingan lain untuk menamatkan sekatan yang mengehadkan eksport vaksin Covid-19 dan mencegah spekulasi dan penyimpanan stok,” kata Bayramov.
Selain itu, NAM menyokong undang-undang antarabangsa dan menentang paksaan unilateral.
Mesyuarat dua hari itu bersempena ulang tahun NAM ke-60 dianjurkan bersama Serbia dan Azerbaijan di Belgrade Fair.
NAM, yang kini disertai 120 negara anggota dan 18 negara pemerhati, ditubuhkan di Belgrade pada 1961. – Bernama, 13 Oktober, 2021.
Komen