AS bakal buka sempadan darat November depan


Jurucakap White House berkata tarikh tepat pembukaan semula sempadan perjalanan darat dan penerbangan antarabangsa akan diberikan tidak lama lagi. – Gambar AFP, 13 Oktober, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) akan membuka sempadan daratnya dengan Mexico dan Kanada awal Novemper depan bagi pengunjung yang sudah menerima vaksin Covid-19, kata White House.

Jurucakap White House berkata tarikh tepat akan diberikan tidak lama lagi – bagi sempadan menerusi darat dan penerbangan antarabangsa.

AS pada September mengumumkan ia akan menarik balik sekatan pada November bagi semua penumpang pesawat yang sudah lengkap vaksin dan menjalani ujian saringan dan penjejakan kontak.

Dalam usaha memperlahankan penularan koronavirus, sempadan AS ditutup pada Mac 2020 kepada semua pengunjung dari Kesatuan Eropah, Britain dan China, diikuti dengan India dan Brazil.

Pengunjung dari laluan darat iaitu Mexico dan Kanda turut diharamkan.

Sumber White House berkata pembukaan semula sempadan darat akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Pada awalnya, vaksin diperlukan bagi perjalanan “tidak penting” – seperti lawatan keluarga atau pelancongan – namun pengunjung tidak divaksin masih dibenarkan masuk ke negara itu bagi perjalanan penting sepanjang tempoh setahun setengah lalu.

Fasa kedua akan bermula awal Januari 2022 mewajibkan semua pengunjung ke AS sudah vaksin sepenuhnya, tidak mengambil kira alasan perjalanan itu. – AFP, 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen