3 pendatang asing maut dilanggar keretapi di Perancis


Sepanyol adalah pintu masuk utama ke Eropah untuk pendatang asing, dengan 16,586 kemasukan haram dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2021.

TIGA pendatang asing terbunuh dan seorang cedera parah dalam insiden dilanggar keretapi di selatan Perancis, kata pihak berkuasa.

Empat mangsa terbabit dipercayai berbaring di landasan berhampiran sebuah stesen di bandar tepi pantai Saint-Jean-de-Luz, dan mereka tidak perasang keretapi pertama melalui kawasan itu pada 3 pagi waktu tempatan, kata pendakwa raya Jerome Bourrier.

Beliau berkata brek kecemasan keretapi berkenaan tidak cukup untuk pemandu mengelak empat lelaki terbabit, iaitu warga Algeria berusia antara 21 dan 40 tahun.

Bourrier berkata mangsa keempat tidak lagi dalam keadaan kritikal dan dijadualkan untuk menjalani pembedahan.

Mangsa dipercayai berada di Sepanyol sebelum menuju ke Perancis, di mana salah seorang daripadanya dihalau oleh pihak berkuasa Sepanyol.

Sepanyol adalah pintu masuk utama ke Eropah untuk pendatang asing, dengan 16,586 kemasukan haram dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, menurut kementerian dalam negeri Sepanyol.

Angka itu adalah 50% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pada Ogos, seorang pendatang asing mati ketika cuba menyeberang sungai Bidasoa yang memisahkan Sepanyol dan Perancis. – AFP, 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen