Penduduk Lembah Klang siap sedia berdepan gangguan bekalan air 4 hari


Noel Achariam Elill Easwaran

Kumpulan pengguna desak pihak berkuasa pastikan tangki dan paip awam cukup agar bekalan dapat disalurkan sepanjang tempoh empat hari gangguan bekalan air di Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2021.

KETIKA penduduk Lembah Klang bersiap sedia untuk menghadapi gangguan bekalan air berjadual selama empat hari mulai hari ini, kumpulan pengguna mendesak pihak berkuasa memastikan tangki dan paip awam cukup agar bekalan dapat disalurkan sepanjang gangguan.

Mereka berkata penting supaya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memfokuskan usaha di kawasan di mana terdapat kumpulan B40, warga emas dan pesakit Covid-19 yang kuarantin kendiri di rumah.

Bermula 9 pagi hari ini, sebanyak 998 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air yang dijangka pulih pada  9 malam 16 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) T Saravanan berkata mereka faham gangguan air perlu dilaksanakan agar kerja-kerja penyelenggaraan dibuat bagi memastikan bekalan air berterusan.

“Keprihatinan kami supaya bekalan air yang mencukupi diberikan kepada golongan rentan, warga emas dan B40.

“Jika pesakit Covid-19 kuarantin kendiri di rumah, maka pihak berkuasa perlu pastikan air dihantar kepada mereka,” kata Saravanan kepada The Malaysian Insight.

Katanya, pengguna perlu sedar mengenai gangguan tersebut kerana ia bukannya gangguan tidak berjadual. Notis diberikan dua minggu sebelum ini.

Air Selangor sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bertanggungjawab untuk mengabstrak, merawat dan menyalurkan bekalan air bersih dan selamat kepada 8.4 juta pengguna mereka.

Saravanan berkata semasa bertemu pihak berkepentingan, Air Selangor memberitahu mereka kerja-kerja penyelenggaraan pada mulanya dijadualkan pada 2019.

“Kerja-kerja itu tidak dapat dimulakan kerana pandemik pada 2020. Oleh itu, Air Selangor perlu melakukan kerja penyelenggaraan sekarang bagi memastikan bekalan air berterusan.

“Kami juga diberitahu kerja penyelenggaraan berikutnya akan dilakukan dalam lima tahun.”

Air Selangor berkata gangguan itu tidak dapat dielakkan kerana Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 akan ditutup untuk kerja menaik taraf dan penyelenggaraan.

Semasa penutupan, mereka akan menggerakkan 105 kapal tangki air dan menyediakan 18 paip awam untuk pengguna, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Bagi pelanggan komersial, empat stesen pengisian air akan disediakan untuk mereka membeli air di semua 10 kaunter perkhidmatan pelanggan Air Selangor.

Saravanan berkata, pengguna perlu mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kesesakan di tempat pengumpulan.

“Tanggungjawab kita untuk simpan bekalan air dan memastikan semua SOP dipatuhi.

“Kami juga diberitahu akan ada sukarelawan membantu kumpulan rentan.”

Tambahnya Air Selangor perlu beri insentif kepada kumpulan B40 atas gangguan bekalan air ini.

“Sebahagian orang tidak dapat masak tanpa air. Jadi, Air Selangor perlu berusaha memberikan bantuan makanan kepada kumpulan B40.”

Peguam Agalya J.M dari Klang berkata ahli keluarganya bersiap sediap simpan bekalan air dalam botol dan beberapa baldi untuk kegunaan mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2021.

Beri akses air kepada warga emas dan orang kurang upaya

Presiden Forum Air Malaysia Saral James Maniam berkata perlu ada akses yang tepat bagi pengguna mendapatkan bekalan air.

Ini, katanya, sangat penting bagi mereka yang tinggal di bangunan tinggi.

“Mereka (Air Selangor) perlu beritahu orang ramai mengenai waktu tangki air dijadualkan dan kemudahan kepada warga emas dan orang kurang upaya untuk ambil air,” kata Saral.
 
Tambahnya Air Selangor juga perlu melihat langkah-langkah untuk kurangkan gangguan air di masa depan.

“Ini (gangguan air) perlu diminimumkan hingga satu atau dua hari paling lama. Mereka (Air Selangor) perlu ambil langkah yang lebih inovatif.”

Berharap berlalu

Seorang doktor klinik haiwan di Desa Sri Hartamas yang enggan disebut namanya berkata sejak berita mengenai gangguan air itu, mereka perlu tangguh pembedahan.

“Kami juga perlu air yang mencukupi untuk cuci tirai dan alat pembedahan.”

Doktor veterinar itu berkata bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, rakan-rakannya menyimpan bekalan air.

“Kami harap apa yang kami ada sekarang ini cukup untuk bertahan selama empat hari.”

Peguam Agalya J.M, 32, dari Klang berkata bagus apabila Air Selangor beri notis awal mengenai gangguan air.

Katanya, keluarganya yang terdiri daripada empat orang bersedia menyimpan bekalan air dalam botol untuk minum dan beberapa baldi untuk kegunaan lain.

“Kami faham perlu untuk kerja peningkatan dan penyelenggaraan tetapi setelah bertahun-tahun, Air Selangor perlu kembangkan cara untuk pastikan kerja tersebut dapat dibuat tanpa gangguan air dan tidak menyusahkan rakyat,” kata Agalya.

Nik Danial, 26, yang menguruskan kedai kopi keluarganya di Shah Alam berkata tidak banyak persiapan dilakukan kerana ahli keluarganya tidak menyedari sepenuhnya gangguan air.

“Kami jimatkan air untuk rumah, tetapi sekarang baru mula simpan stok air di kedai dan semoga itu cukup untuk bertahan selama empat hari.

“Air sangat penting untuk perniagaan kami dan tanpanya tidak ada kopi. Kami juga perlukan air yang cukup untuk cuci peralatan dan perkakas serta membersihkan kedai,” katanya.

Penganalisis pekerjaan, Yip Ze Liang, 24, berkata perlu ada peringatan berterusan kepada masyarakat mengenai gangguan air.

“Saya tidak sepenuhnya bersedia untuk gangguan air kerana tidak ada komunikasi yang jelas yang diberikan oleh mereka.

“Jika ada air yang disediakan melalui tangki bergerak, saya tidak pasti bila ia akan sampai dan di mana saya perlu ambil. Kami harap ada bekalan yang cukup,” kata Ze Liang dari Shah Alam. – 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen