Bos Samsung didakwa salah guna dadah


Naib pengerusi Samsung Elecronics Lee Jae-yong didakwa sekali lagi, kali ini atas dakwaan salah guna propofol anestetik bagi tujuan rekreasi, ubat sama penyebab kematian bintang pop Michael Jackson pada 2009. – Gambar EPA, 12 Oktober, 2021.

PEMIMPIN de facto kumpulan Samsung Lee Jae-yong pada Selasa didakwa atas tuduhan menggunakan propofol anestetik secara haram, langkah perundangan terbaharu bagi memerangi jutawan itu.

Lee - naib pengerusi pembuat telefon pintar terbesar di dunia Samsung Electronics dan menurut Forbes orang ke-297 terkaya di dunia - didakwa telah berulang kali mengambil ubat jenis itu di klinik pembedahan plastik di Seoul pada 2017 dan 2018.

Propofol biasanya merupakan anestetik perubatan tetapi kadang-kadang juga digunakan secara rekreasi, dan penggunaan berlebihan ubat itu dikatakan penyebab kematian bintang pop Michael Jackson pada 2009.

Penyalahgunaan ubat itu biasanya dilihat sebagai kesalahan kecil di Korea Selatan dan pendakwa pada awalnya mencadangkan denda 50 juta won (AS$42,000) di bawah dakwaan ringkas, prosedur di mana kes kurang serius tidak masuk ke mahkamah.

Namun mahkamah menolak pendakwaan dan mengarahkan agar diadakan perbicaraan.

Memakai sut kelabu gelap dan pelitup muka, Lee tidak berkata apa ketika memasuki Mahkamah Seoul, mengelak soalan wartawan.

Di mahkamah, pendakwa menuntut denda lebih besar sebanyak 70 juta won, lapor agensi berita Yonhap.

Peguam Lee mempertahankan bahan itu diberikan atas faktor perubatan.

“Ia diberikan mengikut prosedur perubatan oleh doktor semasa rawatan Lee,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Samsung Electronics enggan mengulas.

Firma itu adalah anak syarikat utama kumpulan Samsung gergasi, setakat ini yang terbesar dari empayar keluarga dikenali sebagai chaebols yang menguasai perniagaan di Korea Selatan, ekonomi ke-12 terbesar di dunia.

Lee menjadi pemimpin de facto konglomerat itu berikutan kematian ayahnya tahun lalu.

Dua bulan lalu beliau dibebaskan lebih awal dari hukuman penjara dua setengah tahun kerana rasuah, penggelapan dan kesalahan lain yang berkaitan dengan skandal rasuah yang menjatuhkan bekas presiden Korea Selatan, Park Geun-hye.

Pembebasan awal dilihat sebagai contoh terbaharu Korea Selatan membebaskan atas dasar ekonomi pemimpin perniagaan yang dipenjarakan kerana rasuah atau elak cukai.

Samsung Electronics kemudiannya mengumumkan rancangan pelaburan raksasa AS$205 bilion, tiga perempat daripadanya dirancang untuk Korea Selatan.

Namun Lee tetap dihukum atas tuduhan berasingan iaitu memanipulasi pengambilalihan bagi melancarkan statusnya dalam kumpulan Samsung - kontroversi yang sama di mana beliau dikatakan meminta pertolongan dari Park. – AFP, 12 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen