43% ibu tunggal hilang kerja semasa pandemik, kata kementerian


Kaji selidik membabitkan 23,634 ibu tunggal mendapati 43% responden hilang pekerjaan kesan daripada pandemik, manakala 92% responden mempunyai pendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2021.

HAMPIR separuh ibu tunggal yang ditinjau hilang kerja semasa pandemik Covid-19, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

KPWKM berkata kaji selidik yang dijalankan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bermula 29 Jun hingga 5 Julai membabitkan 23,634 ibu tunggal mendapati 43% responden hilang pekerjaan kesan daripada pandemik.

Manakala 92% responden mempunyai pendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan iaitu RM2,208, katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara, semalam, yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.

Kementerian itu memaklumkan beberapa program bagi menjana pendapatan telah disediakan untuk membantu ibu tunggal menyara kehidupan seharian mereka.

Program tersebut termasuklah kolaborasi strategik JPW dengan pelbagai pihak seperti TalentCorp dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan 91 majikan dengan 9,105 tawaran pekerjaan.

Perkeso juga melaksanakan pelbagai program perkhidmatan pekerjaan yang telah membantu 171,856 wanita kembali bekerja ataupun bermula bekerja sepanjang pandemik, tambahnya.

Selain itu, kementerian juga menyediakan program menjana pendapatan termasuk pembiayaan berkelompok dan program latihan keusahawanan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), serta program bantuan MyKasih Kapital di bawah Yayasan Kebajikan Negara.

MyKasih Kapital adalah bantuan berbentuk keusahawanan sosial dan kebajikan produktif yang diberi khusus kepada golongan wanita pencari nafkah utama keluarga yang sedang bergelut dengan masalah kewangan.

Sehingga Ogos tahun ini, seramai 18 ribu peserta telah menerima insentif MyKasih Kapital melibatkan peruntukan sebanyak RM13.5 juta, kata KPWKM.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Senator Wan Martina Wan Yusoff yang mahu tahu apakah usaha kerajaan membantu ibu tunggal yang terkesan dengan pandemik Covid-19. – 12 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen