PM beri Anwar surat naik status ketua pembangkang


Ragananthini Vethasalam

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob meningkatkan kedudukan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjadikannya setara dengan menteri, kata Anthony Loke.

Penyelaras ketua whip Pakatan Harapan (PH) dan ahli Parlimen Seremban itu berkata dalam catatan di Facebook yang Ismail Sabri memberikan surat kepada Anwar untuk menaik taraf pejabat ketua pembangkang sebelum mesyuarat jawatankuasa pemimpin kedua Memorandum Persefahaman Transformasi dan Politik (MoU) di Parlimen semalam.

Loke berkata mesyuarat jawatankuasa diadakan pada Isnin setiap dua minggu.

“Mesyuarat membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama. Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya.

Loke berkata mesyuarat itu akan memupuk budaya politik baharu di Malaysia.

“Walaupun ada perbezaan politik di antara parti,  kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara,” katanya.

MOU bipartisan ditandatangani pada 13 September di Parlimen.

Disaksikan oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, Ismail menandatangani bagi pihak kerajaan sementara Presiden PKR Anwar, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Wilfred Madius Tangau mewakili PH. – 12 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen