Jangan sorok 1MDB dalam 'kelambu Kaabah'


PENGAKUAN Perdana Menteri Najib Razak yang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan satu kegagalan kerajaan dalam menguruskannya menimbulkan polemik terhadap skandal mega dalam sejarah negara.

Walaupun ramai melihat pengakuannya sekadar bersifat politik untuk tujuan pilihan raya, tetapi kenyataan beliau itu memberi satu dimensi bagaimana isu 1MDB menjadi topik yang mesti dibincangkan dalam masyarakat dan rakyat seluruhnya perlu mengetahui kegagalannya agar menjadi teladan di masa hadapan seterusnya menjadi tanda aras baru bagaimana isu 1MDB perlu dilayan, diurus, disiasat, dan sesiapa yang terlibat terhadap kegagalannya didakwa selepas ini.

Pengakuan Najib itu di buat setelah isu 1MDB tercampak di tengah dunia selama lebih tiga tahun setelah beberapa negara besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Hong Kong, Switzerland dan Luxembourg melakukan siasatan terperinci dan mengambil beberapa tindakan undang-undang  termasuk merampas aset yang dikaitkan dengannya.

Najib akhirnya akur setelah pelbagai usaha penafian, penipuan dan tindakan keras diambil termasuk membuang pemimpin-pemimpin kanan beliau, “mengikat” pegawai-pegawai kerajaan, menukar pemimpin agensi penting kerajaan serta menutup ruang Parlimen daripada membahaskannya.

Kegagalan 1MDB menyinarkan kebenaran yang perjuangan rakyat, aktivis, golongan NGO, pemimpin politik termasuk di kalangan yang bersama dengan beliau adalah benar dan tidak boleh dinafikan lagi.

Maka juak-juak pembodek yang selama ini berpaut dengan Najib dan mempertahankan sehabis upaya isu 1MDB dengan pelbagai penafian dan pembohongan tidak boleh beralasan lagi.

Oleh demikian, sepatutnya mereka yang selama ini lantang memperjuangkannya, mengkritik dan mempersoalkan beliau perlu diberi peluang untuk tampil ke depan.

Kritikan rakyat bermaksud Najib dan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) melakukan kesilapan besar, dan rakyat menuntut beliau dan kerajaan Umno/BN mengakui kesilapan kerana membiarkan negara menjadi ‘buah mulut’ dunia dengan imej yang sangat buruk.

Keberanian rakyat bangkit bersuara menjadikan sesebuah kerajaan akan telus dan negara serta rakyat selamat dari rasuah, penyelewengan serta pemimpin yang zalim yang amalkan salah guna kuasa.

Najib tidak boleh menuding jari dengan menuduh 1MDB dieksploitasi secara politik dan ada “kempen tumpuan” untuk mensabotaj ekonomi Malaysia.

Kegagalan kerajaan pentadbiran beliau dalam skandal bernilai lebih RM42 bilion itu tidak boleh “disapu di bawah karpet Masjidil Haram dan di dalam kelambu Kaabah” ketika mengerjakan umrah dengan menuduh orang lain mengambil kesempatan terhadap ekonomi Malaysia.

Apakah beliau dan Umno/BN mahu menganggap seluruh dunia sedang berpakat menjatuhkannya dengan mensabotaj ekonomi Malaysia.

Sepatutnya beliau dan Umno/BN mengukur serta menginsafi diri bahawa sememangnya beliau bersalah atas kegagalan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dalam menguruskan 1MDB.

Bukan hanya sekadar Najib mengakui kegagalannya, tetapi perlu dinyatakan ke mana duit 1MDB RM42 bilion, apa jadi duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang diberikan pada SRC anak syarikat 1MDB berjumlah RM4 bilion?

Apakah yang Najib lakukan pada wang daripada SRC yang dimasukan ke dalam akaun beliau melalui AmPrivate Banking sebanyak RM42 juta?

Kenapa Najib menyorok laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB dari pengetahuan rakyat?

Kenapa Najib membisu hingga tidak ambil tindakan pada Sarawak Report (SR) dan Wall Street Journal yang melapor dan mendedah serta mendakwa keterlibatannya dalam skandal mega 1MDB?

Kenapa tiada tindakan terhadap DoJ yang mendakwa penglibatan Najib sebagai MO1 dalam skandal besar negara 1MDB?

Di samping itu beliau juga perlu bertanggung jawab terhadap semua yang berlaku dengan mengembalikan kembali harta dan aset yang keluar dan paling utama, kebertanggungjawaban perdana menteri apabila beliau perlu meletakan jawatan dan menyerahkan urusan pentadbiran negara kepada kerajaan sementara (caretaker government) selepas pembubaran parlimen.

Ini untuk memastikan tiada salah guna kuasa semasa Pilihan Raya Umum ke-14 dan memastikan PRU berjalan dengan adil. – 26 Januari, 2018.

* Mahfuz Omar adalah ahli Parlimen Pokok Sena.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen