Umno calon Ramli Mohd Nor timbalan speaker Dewan Rakyat


Raevathi Supramaniam

Umno mencalonkan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor sebagai calon timbalan speaker Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

UMNO mencalonkan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor sebagai calon timbalan speaker Dewan Rakyat umum Ahmad Maslan.

Setiausaha agung Umni itu menerusi hantaran di Twitter berkata Ramli mencipta sejarah sebagai Orang Asli pertama dicalonkan ke jawatan itu.

“YAB perdana menteri dan presiden Umno telah keduanya bersetuju agar YB Ramli Mohd Nor dicalonkan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

“Ini suatu sejarah, sebagai Orang Asli pertama dicalon.

Jawatan timbalan speaker Dewan rakyat kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu. Azalina telah dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.

Ahmad Maslan sebelum ini antara dua ahli Parlimen yang dicadang bagi menggantikan Azalina.

Beliau bagaimanapun menarik diri pada 7 Oktober lalu, atas alasan untuk menumpukan tugasnya sebagai setiausaha agung Umno..

Pakatan Harapan (PH) pula mencadangkan Ali Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming.

Pengerusi DAP Perak itu pernah menyandang jawatan sama ketika pemerintahan kerajaan PH selama 22 bulan.

Hari ini merupakan hari terakhir menamakan calon timbalan speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen kembali bersidang pada 25 Oktober. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen