Malaysia naik had hutang biaya belanja tambahan RM45b untuk Covid-19


Chan Kok Leong Raevathi Supramaniam

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata langkah menaikkan had siling hutang itu bersifat sementara dan akan disemak semula menjadi 60 peratus apabila rang undang-undang itu luput pada 31 Disember 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

DEWAN Rakyat telah meluluskan pelan kerajaan untuk menaikkan had siling hutang buat kali kedua dalam beberapa tahun.

Pada pukul 5.30 petang, 220 anggota Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk membolehkan kerajaan meminjam hingga 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai sebahagian dari langkah sementara untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

Malaysia pernah menaikkan had siling hutang kepada 60 peratus tahun lepas. Sebelum itu, ia dinaikkan pada Julai 2009 semasa krisis kewangan global.

Menurut Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Aziz, langkah itu bersifat sementara dan hadnya akan disemak semula menjadi 60 peratus apabila RUU itu luput pada 31 Disember 2022.

Sejajar dengan kenaikan had siling hutang, Dewan Negara hari ini meminda Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dengan menaikkan dana sebanyak RM45 bilion menjadi RM110 bilion.

“Walaupun sementara, kerajaan boleh usulkan RUU itu lagi jika perlu,” kata Tengku Zafrul ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut membolehkan kerajaan membiayai perbelanjaan tambahan RM45 bilion untuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi.

“Ini akan memastikan sokongan berterusan kepada semua pihak, terutama golongan B40 dan keluarga yang terkesan agar mereka dapat terima bantuan bagi meringankan beban,” kata Tengku Zafrul.

RUU ini juga bertujuan memperkuat sistem kesihatan awam dan menyokong peniaga kecil dan sederhana, tambahnya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan sentiasa komited untuk menggabungkan defisit akhir kurang dari 3 peratus. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen