Dua mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid untuk rawatan di Jerman


Hailey Chung Wee Kye

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam membenarkan pasport Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan buat sementara agar beliau boleh mendapatkan rawatan kesihatan di Munich, Jerman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam telah membenarkan pelepasan sementara pasport Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dari 26 Oktober hingga 21 November bagi mendapatkan rawatan sakit belakang dan leher di Jerman.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, permohonannya dibenarkan dengan syarat jaminan tambahan.

“Sebagai menjelaskan, tujuannya adalah untuk pembedahan dan hanya tertakluk kepada negara Jerman sahaja,” kata Hakim Collin Lawrence Sequerah kepada peguam Zahid, yang dibalas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun berkata pihaknya tidak ada bantahan.

Hakim kemudian mengenakan syarat tambahan jaminan lain.

Minggu lalu, Hamidi memberitahu mahkamah Zahid, yang menderita sakit belakang dan leher, perlu mendapatkan rawatan dari pakar terkemuka di Munich.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa pagi ini juga membenarkan pasport Zahid dilepaskan sementara.

Pendakwaan kes Zahid di Mahkamah Tinggi Shah Alam juga tidak membantah permohonan itu.

Di mahkamah Kuala Lumpur, Zahid, 68, menghadapi 47 pertuduhan - 12 tuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram, dan lapan tuduhan rasuah - melibatkan puluhan juta ringgit dalam dana milik yayasan amalnya Yayasan Akalbudi.

Di mahkamah Shah Alam, beliau berhadapan 40 lagi pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Kecederaan punggung Zahid dikatakan bertambah buruk selepas tergelincir dan jatuh di bilik air pada 18 Ogos, menurut Dr Mohd Shahir Anuar dari Hospital Pakar Avisena yang dipanggil ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjelaskan keadaan kesihatan ahli Parlimen Bagan Datuk itu. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen