Sydney tarik sekatan Covid-19 selepas 106 hari


Pub malam, restoran dan kafe di Sydney, Australia mula membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang dapat membuktikan mereka telah divaksin. – Gambar EPA, 11 Oktober, 2021.

WARGA Sydney pada Isnin suka hati selepas tamatnya sekatan Covid-19 selepas hampir empat bulan, sekali gus meninggalkan tempoh “berdarah, memenatkan dan tanpa bir” di bandar terbesar Australia itu.

Lebih lima juta penduduk di Sydney dikenakan sekatan selama 106 hari, bagi mengekang penularan varian Delta.

Jangkitan baharu juga kini menurun, di mana negeri New South Wales itu mencatatkan 496 kes pada Isnin, dan lebih 70 peratus daripada lebih warga berusia 16 tahun ke atas telah lengkapkan vaksinasi.

Pub malam, restoran dan kafe mula membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang dapat membuktikan mereka telah divaksin.

Mereka itu antaranya termasuk Garth Diemer yang berusia 32 tahun dan pasukan pekerja binaannya yang bersemangat tinggi.

“Kami tahu pub akan dibuka kira-kira pukul 10 pagi kerana ini adalah Hari Kebebasan, jadi saya fikir saya akan ajak rakan-rakan dan minum bersama,” katanya kepada AFP.

“Saya beritahu anda, kawan, sangat indah hanya dengan minum bir tepat di tengah-tengah Sydney, di Circular Quay dan minum bir dengan rakan-rakan anda.”

Pengunjung kafe, Peter Morgan, 35, turut menikmati kebebasannya.

“Walaupun seperti beku di luar, tetapi sangat bagus,” katanya.

“Perkara pertama yang akan saya buat ialah berjumpa dengan ibu bapa saya. Sebenarnya tidak, tidak berjumpa dengan ibu bapa saya. Saya akan pergi ke Lakemba untuk mendapatkan makanan Lubnan dan kemudian berjumpa dengan ibu bapa saya.”

Di seluruh bandar, pelanggan berambut lusuh berbaris di luar salon pendandan untuk potong dan dandan rambut.

“Saya tidak sabar berada di sini untuk buat rambut saya,” kata Brett Toelle, seorang pelanggan salon di Surry Hills yang kali terakhir potong rambut pada 15 minggu lepas. “Itulah masa terpanjang yang saya lalui tanpa potong rambut.”

Bagi kebanyakan orang, tamatnya sekatan adalah peluang untuk berkunjung ke kedai-kedai.

Pada tengah malam, beratus-ratus orang masuk ke kedai Kmart di pinggir Sydney barat Mount Druitt, dengan gambar media sosial yang menunjukkan barisan panjang di dalamnya.

Bagi yang lain, ini adalah peluang untuk merancakkan perniagaan mereka.

“Suasana yang menarik pagi ini,” kata Hannah Simmons, pemilik Gordon’s Cafe di pinggir pantai Clovelly yang perniagaannya selamat dari sekatan.

“Tempat duduk di luar akan agak suram tetapi tidak apa-apa. Kami sangat gembira dapat kembali ke sana dan terbuka.”

Sejak Jun, kedai, sekolah, salun dan pejabat ditutup untuk pekerja bukan penting dan terdapat sekatan kebebasan peribadi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Terdapat larangan untuk semua perkara dari perjalanan lebih dari lima kilometer dari rumah, mengunjungi keluarga, bermain skuasy, ke pasar raya hingga menghadiri pengebumian. – AFP, 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen