Kerajaan bentang Ordinan Darurat di Dewan Rakyat hari ini


Chan Kok Leong Raevathi Supramaniam

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Ordinan Darurat untuk dibahaskan dan diluluskan Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

SETELAH berbulan-bulan kontroversi, kerajaan Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan tujuh Ordinan Darurat untuk dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat, menurut Kertas Pesanan hari ini.

Pembentangan itu dilakukan sesuai Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua Ordinan Darurat mesti dibentangkan di kedua-dua dewan Parlimen, kata perdana menteri dalam Kertas Pesanan.

Ini adalah kali pertama Ordinan Darurat yang dipersetujui tahun ini, akan dibentangkan di Parlimen.

Pada 11 Januari, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengistiharan Daurat bagi memberi kerajaan Perikatan Nasional lebih banyak kuasa untuk memerangi wabak Covid-19. 

Sepanjang tempoh ini, kerajaan Muhyiddin meluluskan tujuh ordinan darurat tanpa persetujuan perundangan.

Ini termasuk undang-undang untuk meningkatkan denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang memungkinkan kerajaan persekutuan dan negeri menggunakan dana kerajaan tanpa persetujuan perundangan dan bagi kerajaan menambah kemudahan hospital swasta untuk membantu memerangi wabak tersebut.

Bagaimanapun hanya beberapa hari sebelum proklamasi itu berakhir pada 1 Ogos, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) mengejutkan Parlimen dengan mengatakan Kabinet sudah membatalkan ordinan pada 21 Julai.

Sebagai tindak balas segera terhadap pengumuman Takiyuddin, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Perikatan Nasional kemudian membatalkan dua hari terakhir persidangan Dewan Rakyat selama lima hari.

Berikutan itu, 14 ahli Parlimen Umno mengumumkan mereka hilang kepercayaan kepada Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen