16 terbunuh dalam nahas kapal terbang di Rusia 


Gambar yang disiarkan kementerian berkenaan menunjukkan badan pesawat berkenaan patah dua.– Gambar EPA, 11 Oktober, 2021.

16 orang terbunuh apabila sebuah pesawat membawa sekumpulan penumpang terhempas di tengah Rusia pada Ahad, kata kementerian kecemasan. 

Pesawat jenis L-410 membawa 22 penumpang terhempas sekitar 9.23 pagi (waktu tempatan) berhampiran pekan Menzelinsk di republik Tatarstan, menurut kementerian itu. 

“Enam penumpang diselamatkan manakala 16 lagi meninggal dunia,” kata kementerian berkenaan. 

Laporan awal menyebut 15 orang terbunuh dan pesawat berkenaan membawa 23 penumpang. 

Pesawat berkenaan membawa peserta sebuah kelab payung terjun untuk amatur. 

Gambar yang disiarkan kementerian berkenaan menunjukkan badan pesawat berkenaan patah dua. 

Sementara itu pemimpin Tatarstan Rustam Minnikhanov yang pergi ke tempat kejadian berkata juruterbang melaporkan berlaku kegagalan enjin sebelum meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan cemas sejurus berlepas. 

Menurutnya pesawat berkenaan cuba mengelak daripada kawasan perumahan berhampiran namun gagal. 

Pesawat itu kemudian terhempas di atas sebuah van yang diparkir. – AFP, 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen