6 terbunuh dalam serangan bom di Yaman


Kenderaan membawa Gabenor Ahmed Lamlas dan Menteri Kabinet Salem al-Socotri bagaimanapun terselamat daripada letupan itu, menurut sumber keselamatan Yaman. – Gambar EPA, 10 Oktober 2021.

ENAM terbunuh dalam serangan bom hari ini yang mensasarkan gabenor Aden, ibu kota pemerintahan Yaman yang diiktiraf antarabangsa, kata sumber keselamatan.

Sumber keselamatan menjelaskan, kenderaan membawa Gabenor Ahmed Lamlas dan Menteri Kabinet Salem al-Socotri bagaimanapun terselamat daripada letupan itu sebaik konvoi melalui lokasi kejadian.

“Sebuah kereta dilengkapi bom… di Jalan al-Mualla meletup ketika konvoi membawa pegawai kerajaan… melalui kawasan terbabit,” kata sumber kelelamatan Yaman.

Menurut sumber lima anggota rombongan terbunuh dan 11 yang lain cedera dalam serangan itu.

Seorang lagi yang cedera parah kemudiannya disahkan meninggal dunia, menyebabkan angka kematian kepada enam orang.

Kerajaan Persekutuan kini berpusat di Aden, selepas berpindah dari Sanaa pada 2014 lalu.

Ia ekoran tekanan pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran, yang terus memerangi pihak yang setia dengan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dalam perang saudara yang mengerikan.

Agensi berita rasmi Saba melaporkan, Perdana Menteri Maeen Abdulmalek Saeed mengarahkan siasatan dijalankan ke atas serangan “pengganas” hari ini.

Sementara itu, Presiden Abedrabbo Mansour Hadi menyebut serangan itu sebagai “operasi pengganas”.

Laporan itu turut menyebut, Hadi memerintahkan semua agensi keselamatan dan ketenteraan untuk “mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan keselamatan dan kestabilan”. – AFP, 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen