PENGASAS program senjata nuklear Pakistan yang dituduh menyeludup teknologi ke Iran, Korea Utara dan Libya, Abdul Qadeer Khan meninggal dunia pada usia 85 tahun, kata pihak berkuasa hari ini.
Saintis atom yang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di bawah pengawasan ketat menghembuskan nafas terakhir di ibu kota Islamabad selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 baru-baru ini.
Saluran berita tempatan PTV melaporkan, Khan meninggal dunia selepas dipindahkan ke Hospital KRL kerana mengalami masalah paru-paru.
Beliau telah dimasukkan ke hospital yang sama pada Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, selepas dibenarkan pulang beberapa minggu lalu, beliau dipindahkan semula setelah keadaannya semakin teruk, menurut laporan berita TV itu.
Khan diangkat sebagai pahlawan kerana mengubah Pakistan menjadi negara Islam pertama di dunia yang memiliki kekuatan nuklear dan memperkuatkan pengaruh terhadap musuh dan negara bersenjata nuklear seperti India.
Bagaimanapun, Barat menganggap beliau sebagai ancaman berbahaya kerana berkongsi teknologi dengan negara nuklear yang kejam.
Berita kematiannya mencetuskan susasan pilu di Pakistan malah ramai menyanjung legasi yang ditinggalkan Khan.
“Sangat sedih dengan pemergian Dr A.Q. Khan,” kata Perdana Menteri Imran Khan dalam Twitter beliau, sambil menekankan betapa cintanya rakyat terhadap saintis nuklear itu di Pakistan kerana “sumbangan besarnya yang menjadikan kita sebagai negara senjata nuklear”.
“Bagi rakyat Pakistan, dia adalah ikon kebangsaan.”
Perdana menteri berkata saintis itu akan dikebumikan di Masjid Faisal di Islamabad atas permintaannya.
Pengebumian dijadualkan pada jam 3:30 petang (waktu temapatan) hari ini. – AFP, 10 Oktober, 2021.
Komen