15 terbunuh pesawat terhempas di Russia


Model pesawat L-410 yang terhempas di republik Tatarstan. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2021.

SERAMAI 15 orang terbunuh selepas pesawat L-410 membawa ahli payung terjun terhempas di republik Tatarstan, tengah Russia pada Ahad, kata kementerian kecemasan.

“Tujuh orang diselamatkan, 15 lagi dikeluarkan tanpa sebarang tanda masih hidup,” menurut kementerian itu dalam saluran Telegram.

Pesawat L-410 itu membawa 23 orang terhempas sekitar jam 9.23 pagi waktu tempatan (0623 GMT) semasa penerbangan ke republik Tatarstan.

Imej yang dikeluarkan kementerian itu menunjukkan pesawat itu pecah dua.

Kementerian kesihatan tempatan menyatakan tujuh mangsa yang selamat berada di hospital, seorang berada dalam “keadaan yang sangat serius,” lapor agensi berita RIA Novosti.

Menurut agensi berita Interfax, pesawat itu milik persatuan sukarela untuk bantuan tentera darat, penerbangan dan tentera laut Russia, yang menggambarkan mereka sebagai organisasi sukan dan pertahanan.

Dua pesawat L-410 mengalami kemalangan teruk di Russia awal tahun ini. – AFP, 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen