Facebook dan Google perlu kawal selia ketat, kata Soros


Pengaruh Facebook dan Google yang hampir mewujudkan monopoli internet boleh digunakan untuk menekan demokrasi, kata George Soros. – Gambar AFP, 26 Januari, 2018.

PELABUR hartawan George Soros melancarkan serangan mengencam syarikat teknologi gergasi di Sidang Kemuncak Davos hari ini, menyifatkan monopoli mereka boleh dimanipulasikan pihak berkuasa untuk menekan demokrasi.

Pada majlis makan malam anjurannya di Forum Ekonomi Dunia diadakan di hotel banjaran Swiss minggu ini, Soros meluahkan pandangan tentang pelbagai perkara termasuklah Presiden AS Donald Trump dan spekulasi liar mengenai mata wang digital bitcoin.

Tetapi kecamannya tertumpu kepada syarikat teknologi gergasi Lembah Silikon yang katanya perlu dikawal selia dengan ketat.

“Facebook dan Google mengawal separuh daripada pendapatan pengiklanan di internet,” kata lelaki berusia 87 tahun itu.

“Mereka mendakwa hanya menyebarkan maklumat. Tetapi hakikatnya mereka adalah pengedar hampir monopoli menjadikan mereka entiti perkhidmatan awam dan sepatutnya tertakluk kepada peraturan lebih ketat, bertujuan mengekalkan persaingan, inovasi, dan akses terbuka dan saksama sejagat.”

Beliau menjangkakan yang syarikat gergasi itu akan “bertolak ansur” untuk masuk ke dalam pasaran besar seperti China membentuk “pakatan antara negara autokratik dan monopoli besar data kaya IT.”

“Ini boleh menghasilkan jaringan kawalan totalitarian yang tidak pernah dijangka wujud oleh Aldous Huxley atau George Orwell,” katanya memberi amaran.

Kerajaan perlu mula mengawal selia ketat sektor itu: “Davos adalah tempat terbaik untuk umumkan yang masa (bebas beroperasi) mereka sudah sampai.”

Dikenali kerana kejayaan perdagagan yang kini dianggap lagenda, Soros mengatakan bitcoin hanyalah “buih biasa”.

Tetapi mata wang digital akan mengelak jatuh teruk kerana ada pihak berkuasa yang menggunakannya untuk melakukan pelaburan secara rahsia di luar negara mereka.

Beliau juga menyifatkan Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai ketua “negara mafia” dan menggelarkan Trump sebagai “bahaya kepada dunia”.

Tetapi, menurutnya tarikan presiden AS itu tidak lama.

“Saya mengganggapnya sebagai fenomena sementara yang akan hilang pada 2020 atau mungkin lebih cepat.”

Tetapi jangkaan pelabur kontroversi itu di Davos tidak selalunya tepat. Tahun lepas beliau menjangkakan pasaran saham akan jatuh selepas Trump menang dan kadar pertumbuhan China tidak akan berterusan naik.

China terus berkembang dan pasaran saham AS sehingga kini terus mencatat nilai dagangan tinggi pernah direkodkan. – AFP, 26 Januari, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen