Kami tidak akan tunduk kepada China, kata Taiwan


Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berkata semakin banyak negaranya capai, semakin kuat tekanan yang dihadapi dari China, namun tidak ada sesiapa dapat paksa Taiwan ikut jalan ditetapkan jiran komunisnya itu. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2021.

TAIWAN tidak akan tunduk pada tekanan Beijing dan akan mempertahankan demokrasinya, kata Presiden Tsai Ing-wen pada Ahad, berikutan pencerobohan pesawat perang China ke zon pertahanan udaranya yang makin meningkat.

23 juta rakyat Taiwan hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh China, yang memandang pulau itu sebagai wilayahnya dan telah berjanji untuk merebutnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.

“Semakin banyak yang kita capai, semakin besar tekanan yang kita hadapi dari China,” kata Tsai dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan Taiwan, sambil menambah: “Tidak ada yang dapat paksa Taiwan untuk ikut jalan yang ditetapkan China.”

Beliau menggambarkan Taiwan sebagai “berdiri di benteng pertahanan pertama demokrasi”.

“Kami tidak akan bertindak terburu-buru, tetapi sama sekali tidak akan berkhayal yang rakyat Taiwan akan tunduk pada tekanan,” tambahnya.

Kedua-dua pihak telah memerintah secara berasingan sejak tamatnya Perang Saudara China pada 1949.

Ketegangan meningkat ke tahap tertinggi dalam beberapa dekad di bawah Presiden China Xi Jinping, yang memutuskan komunikasi rasmi dengan Taipei berikutan pelantikan Tsai lima tahun lalu selain meningkatkan tekanan ekonomi, diplomatik dan ketenteraan.

Terdapat lagi peningkatan pencerobohan jet pejuang China dan pengebom berkeupayaan nuklear ke zon pengenalan pertahanan udara Taiwan (ADIZ).

Beijing menghantar kira-kira 150 pasukan ke dalam zon itu sejak beberapa hari ini sekitar, jumlah paling tinggi. – AFP, 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen