Penyatuan dengan Taiwan akan jadi kenyataan, kata China


Ketika Presiden Komunis China Xi Jinping berucap, potret besar Sun Yat-sen, doktor berpendidikan Barat yang memimpin revolusi 1911 yang menggulingkan kerajaan Qing, menjulang tinggi di atas pentas. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2021.

PRESIDEN negara komunis China Xi Jinping pada Sabtu berkata penyatuan semula secara aman dengan Taiwan akan jadi kenyataan, beberapa hari selepas pesawat perang republik itu menceroboh zon pertahanan udara pulau yang diperintah secara demokratik.

Taiwan yang diperintah sendiri, yang tidak pernah secara rasmi menyatakan kemerdekaan, hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh China, yang melihat pulau itu sebagai wilayahnya dan telah berjanji merebutnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.

“Merealisasikan penyatuan semula negara dengan cara aman dapat menjaga kepentingan negara secara keseluruhan termasuk saudara-saudara kita di Taiwan,” kata Xi dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-110 revolusi yang mengakhiri pemerintahan imperialis selama ribuan tahun dan membawa kepada penubuhan Republik China.

“Kemerdekaan Taiwan adalah halangan terbesar untuk bersatu kembali, dan ada bahaya tersembunyi yang serius,” kata Xi memberi amaran.

Ketika Xi berucap, potret besar Sun Yat-sen, doktor berpendidikan Barat yang memimpin revolusi 1911 yang menggulingkan kerajaan Qing, menjulang tinggi di atas pentas.

Sun mengasaskan Republik China, yang tetap menjadi nama rasmi Taiwan, di mana Nasionalis yang dikalahkan melarikan diri selepas Komunis Mao Zedong menang perang saudara China pada 1949 dan menubuhkan Republik Rakyat.

“Penyatuan semula negara kita akan dan dapat jadi kenyataan,” kata Xi.

Beliau turut memberi amaran terhadap campur tangan asing di Taiwan setelah seorang pegawai Pentagon mengesahkan pasukan operasi khas Amerika Syarikat secara diam-diam melatih pasukan Taiwan selama berbulan-bulan.

“Isu Taiwan adalah urusan dalaman kerajaan komunis China sahaja dan campur tangan luar tidak dibenarkan,” katanya.

Beijing telah meningkatkan tekanan di Taipei sejak pelantikan Presiden Tsai Ing-wen pada 2016, yang memandang pulau itu sebagai sudah bebas.

Tsai dijadual berucap pada Ahad di sebuah acara memperingati revolusi 1911, salah satu dari beberapa peristiwa yang menyatukan China dan Taiwan.

Menteri pertahanan Taiwan pada Rabu berkata ketegangan ketenteraan dengan China berada pada tahap tertinggi dalam empat dekad, selepas. lebih kurang 150 pesawat perang China - jumlah paling tinggi - membuat pencerobohan di zon pertahanan udara Taiwan.

Amaran Xi muncul selepas Britain minggu lalu menghantar kapal perang melalui Selat Taiwan, mencabar tuntutan Beijing ke laluan laut yang sensitif, selain kunjungan delegasi Perancis ke Taiwan walaupun ada amaran dari China. – AFP, 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen