JUMLAH warga Afghanistan cuba menyeberangi sempadan ke Iran meningkat sejak Taliban mengambil alih kerajaan hampir dua bulan lalu.
Namun hanya sebahagian daripada mereka yang berjaya merentas sempadan, kata pihak berkuasa.
Sebelum Taliban mengambil alih kerajaan pada 15 Ogos, sekitar 1,000 hingga 2,000 orang memasuki Iran menerusi pintu sempadan Zaranj di barat daya wilayah Nimroz setiap bulan.
Namun komander sempadan wilayah Nimroz, Mohammad Hashem Hanzaleh memberitahu AFP, minggu ini jumlah mereka yang cuba merentas sempadan meningkat antara 3,000 dan 4,000 orang setiap hari.
Peningkatan itu berlaku berikutan situasi ekonomi yang tidak menentu dan krisis kemanusiaan yang melanda Afghanistan, yang mana Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran satu pertiga daripada penduduk negara itu berdepan kebuluran.
Namun menurut Hanzaleh hanya sebahagian daripada mereka mempunyai dokumen perjalanan lengkap untuk merentas sempadan ke Iran.
Peniaga dan mereka yang memiliki visa penduduk serta visa untuk rawatan perubatan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Iran, katanya.
Kira-kira 500-600 orang dibenarkan merentas sempadan setiap hari.
Bagi mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan. pengalaman mereka amat menyedihkan.
Salah seorang daripada mereka, Hayatullah, menunjukkan kecederaan di tangannya.
“Tentera Iran mengambil wang kami. Mereka pukul tangan kami dan melukakannya,” katanya.
Mohammad Nasim gagal memasuki negara itu selepas tiga kali cuba memanjat tembok sempadan.
Menurutnya dua malam sebelum itu pengawal sempadan menembak mati dua orang yang cuba merentas sempadan, termasuk salah seorang rakannya.
Namun itu tidak menghalang mereka untuk terus mencuba menyeberangi sempadan.
“Jika kamu melihat kemiskinan, kebuluran dan kesengsaraan di negara kamu, pasti kamu juga akan merentas sempadan ke tempat lebih baik.
“Kami tidak ada pilihan lain,” katanya.– AFP, 10 Oktober, 2021.
Komen