Ribuan penunjuk perasaan bantah pas kesihatan Covid


Polis terpaksa menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Rom, Itali.– Gambar EPA, 10 Oktober, 2021.

RIBUAN penunjuk perasaan termasuk kumpulan berhaluan kiri turun ke jalan raya di tengah Rom bagi membantah lanjutan sistem pas kesihatan Covid-19 di semua tempat kerja.

Mereka bertempur dengan polis dan membantah pas kesihatan, yang merupakan satu keperluan untuk memasuki muzium, acara sukan dan restoran sejak Ogos lalu.

Walaupun perhimpunan itu dibenarkan, beberapa ratus penunjuk perasaan merempuh penghadang dan cuba berarak ke Parlimen.

Polis terpaksa menggunakan meriam air dan gas pemedih mata bagi menghalang mereka.

Menurut agensi berita AGI, beberapa penunjuk perasaan turut ditahan.

Penahanan turut berlaku di ibu negara itu dan beberapa bandar raya termasuk Milan dan Cesena di tengah Itali.

Tiga minggu lalu, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Mario Draghi mengumumkan skim berkenaan akan diperluas di semua tempat kerja bermula 15 Oktober dan semua pekerja yang enggan mematuhinya akan digantung tanpa gaji.

Sistem pas kesihatan sudah diwajibkan kepada petugas kesihatan negara itu. Ia memerlukan orang ramai menunjukkan sijil vaksinasi, bukti sembuh daripada Covid-19 atau keputusan negatif ujian terkini.

Seorang pesara Maria Ballarin menyifatkan keputusan itu sebagai satu jenayah dan ugutan oleh kerajaan Itali.

Dengan tidak mewajibkan vaksinasi namun memaksa pekerja mengambilnya, kerajaan enggan bertanggungjawab sekiranya berlaku kematian atau kesan sampingan, namun sevara tidak langsung memaksa rakyat mengambil vaksin bagi membolehkan mereka bekerja, katanya.

“Kami digantung kerja sejak dua bulan lalu, kata salah seorang penunjuk perasaan, Casimo. Dia dan isterinya, Morena merupakan jururawat.

Pasangan berkenaan berkata mereka mempunyai masalah alahan dan imuniti serta mendapat pengecualian daripada doktor.

Namun mereka digantung kerja tanpa gaji.

Hampir 80% penduduk Itali berusia 12 tahun ke atas telah melengkapkan vaksinasi mereka, menurut statistik kerajaan. – AFP, 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen