SELURUH negara terutama pemain industri pelancongan mula bersiap sedia menerima ‘gelombang’ pergerakan rentas negeri susulan kebenaran aktiviti itu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, kebenaran rentas negeri akan dikuatkuasakan serentak di seluruh negara selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90%.
Sasaran itu semakin hampir apabila 89.4% daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksin Covid-19 setakat malam tadi.
Kebenaran rentas negeri itu dijangka turut meningkatkan kehadiran pengunjung ke lokasi pelancongan, justeru penyedia perkhidmatan pengangkutan darat dan feri antara paling awal membuat persiapan menjelang pengumuman itu.
Bagi menghadapi keadaan itu, pengusaha feri di Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bersiap sedia bagi menambah jumlah perjalanan feri dari semasa ke semasa mengikut permintaan pelancong.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Baharin Baharom berkata, buat masa ini hanya satu perjalanan feri beroperasi dari Kuala Kedah ke Langkawi dan dua perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi.
Beliau berkata, pelancong perlu berada dua jam lebih awal di jeti bagi mengelak kesesakan seterusnya menyukarkan proses saringan kesihatan dan keselamatan sebelum kemasukan ke pulau peranginan itu terutama dengan peningkatan jumlah pelancong ke Langkawi.
Di Pahang, petugas di Terminal Feri Jeti Teluk Gading (dahulunya Tanjung Gemok) Nurhanim Mohd Jaaffar berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19 antaranya sentiasa menjaga jarak sosial dan memakai pelitup muka.
Beliau berkata, proses sanitasi kerap dilaksanakan di jeti selain di dalam feri yang akan membawa pelancong ke Pulau Tioman dengan kapasiti 130 hingga 200 penumpang.
Di Perak, bagi sektor pelancongan di Pulau Pangkor, kebanyakan pengusaha teksi kini bersiap sedia menerima pelancong dengan memastikan pengangkutan mereka dalam keadaan terbaik termasuk aspek pematuhan SOP dengan menyediakan kod QR MySejahtera di setiap van.
Selain itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) cawangan Perak Hisham Yusof berharap kerajaan menyediakan garis panduan SOP jelas dan selari bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri supaya tidak mengelirukan pengusaha dan pelancong.
“Kita tidak mahu berlaku apabila rakyat Malaysia sudah dibenarkan rentas negeri, SOP bagi pengusaha negeri masih belum dikeluarkan sekali gus menyebabkan kami tidak boleh beroperasi,” katanya.
Di Kuala Lumpur, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang menjadi stesen bas bersepadu laluan ke utara, selatan dan timur tanah air dijangka kembali menjadi tumpuan orang ramai sebaik sahaja kelonggaran rentas negeri dibenarkan.
Pengarah Urusan Maju TMAS Sdn Bhd Roslan Shariff yang juga pengendali perkhidmatan TBS berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan sebanyak 50% penjualan tiket bas sehari berbanding 10% pada masa ini.
Di Negeri Sembilan, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan awal termasuk memastikan semua bas disanitasi terlebih dahulu sebelum beroperasi apabila rentas negeri dibenarkan.
Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan peralatan pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan memastikan penumpang mengikut SOP ditetapkan. – Bernama, 9 Oktober, 2021.
Komen