Thailand percepat proses pinda peraturan, akta anti-doping


WADA memaklumkan, badan anti-doping Thailand disenaraikan sebagai 'tidak patuh' yang bermakna negara itu tidak layak diberikan hak menganjurkan acara sukan utama serantau dan antarabangsa. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2021.

SELEPAS Korea Utara, Thailand dan Indonesia diisytihar gagal mematuhi Kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) 2021 oleh agensi itu, Thailand berusaha mempercepatkan proses pematuhan supaya ia dapat terus menyertai dan menganjurkan acara sukan antarabanga.

WADA pada Khamis menyatakan, Thailand gagal mematuhi kod berkenaan kerana kurangnya pelaksanaan penuh terhadap kod berkenaan manakala agensi anti-doping kebangsaan Korea Utara dan Indonesia didapati tidak melaksanakan program ujian doping secara berkesan.

Media tempatan memetik Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT), Dr Gongsak Yodmani sebagai berkata, pihaknya akan segera meminda dan menguatkuasakan peraturan terbabit.

“Jika proses berkenaan tertangguh, Thailand tidak layak menghantar pasukan menyertai pertandingan antarabangsa atau menganjurkan sebarang acara sukan antarabangsa.

“Keadaan ini buruk untuk imej Thailand dan menjejaskan ekonomi negara. Proses melakukan pindaan serta menguatkuasakan peraturan itu akan selesai dalam tempoh tiga hingga empat bulan dan draf akta berkenaan sudah diserahkan ke Pejabat Majlis Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan dan Sukan, SAT dan Agensi Kawalan Doping (DCAT) sudah pun menyerahkan perkara itu kepada Kabinet pada 21 Sept. 

Kabinet kemudiannya mengarahkan Kementerian Pelancongan dan Sukan, Pejabat Majlis Parlimen, SAT dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand untuk bekerjasama meminda Akta Kawalan Doping dalam Sukan 2012 untuk membolehkan DCAT beroperasi sebagai badan bebas sepenuhnya serta meminda tafsiran bahan terlarang anti-doping.

Sementara itu, Reuters melaporkan, SAT akan mengemukakan petisyen kapada WADA minggu depan untuk menimbangkan semula keputusan berkenaan.

WADA menerusi kenyataannya memaklumkan, badan anti-doping Thailand, Korea Utara dan Indonesia disenaraikan sebagai “tidak patuh” yang bermakna negara itu tidak layak untuk diberikan hak menganjurkan acara sukan utama serantau dan antarabangsa ketika tempoh penggantungan itu. Penggantungan itu berkuat kuasa serta merta.

Ketiga-tiga negara itu hilang hak dan keistimewaan sebagai ahli WADA menyaksikan ia tidak boleh menghantar wakil untuk menyertai lembaga, jawatankuasa, badan atau pertubuhan sehingga negara itu dikeluarkan daripada senarai berkenaan atau untuk tempoh setahun, yang mana lebih lama.

Selain itu, atlit dari ketiga-tiga negara ini masih dibenar menyertai saingan serantau, benua atau antarabangsa tetapi bendera kebangsaan mereka tidak akan dikibarkan kecuali ketika saingan Olimpik dan Paralimpik. Larangan ini juga berkuat kuasa sehingga mereka mematuhi syarat yang ditetapkan. – Bernama, 9 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen