PIHAK berkuasa Iraq pada Jumaat mengumumkan kira-kira 69% pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada pengundian awal pilihan raya umum.
Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IHEC), Hakim Jalil Adnan Khalaf dalam satu sidang media berkata peratusan keluar mengundi pada pengundian awal itu “menunjukkan permulaan pilihan raya Parlimen yang berjaya.”
Khalaf berkata tiada sebarang masalah penipuan dilaporkan berlaku dan kertas undi itu akan dikira bersama dengan kertas undi pada hari pengundian 10 Okt nanti, keputusan dijangka diumumkan 24 jam selepas pusat pengundian ditutup, lapor Agensi Berita Xinhua.
Pengundian awal membabitkan anggota pasukan keselamatan, banduan dan orang tersingkir (displaced person) bermula pada 7 pagi waktu tempatan (0400 GMT) dan berakhir 6 petang Jumaat.
Pilihan raya Iraq, yang awalnya dijadual pada 2022, diadakan lebih awal susulan protes selama berbulan-bulan membantah rasuah dan tadbir urus perkhidmatan awam yang lemah.
Menurut suruhanjaya pilihan raya, kira-kira 24 juta rakyat Iraq layak mengundi untuk memilih calon pilihan mereka. Seramai 3,249 calon bertanding di bawah tiket bebas dan 167 lagi calon dari parti dan gabungan yang akan bertanding merebut 329 kerusi Parlimen. – Bernama, 9 Oktober, 2021.
Komen