Presiden Chile disiasat susulan pendedahan Pandora Papers


Presiden Chile Sebastian Pinera pada Isnin lalu menafikan wujud konflik kepentingan dalam urusan penjualan syarikat perlombongan Dominga pada 2010. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2021.

PEJABAT pendakwa raya Chile semalam membuka kertas siasatan terhadap Presiden Sebastian Pinera atas penjualan syarikat perlombongan melalui firma milik keluarganya, yang didedahkan dalam dokumen kewangan, Pandora Papers.

“Kertas siasatan dibuka selepas Pandora Papers mendedahkan penjualan syarikat perlombongan Dominga oleh firma keluarga Presiden Pinera,” kata ketua unit antirasuah pejabat itu, Marta Herrera.

Pinera pada Isnin lalu menafikan wujud konflik kepentingan dalam urusan penjualan pada 2010 itu.

Herrera dalam kenyataan berkata keputusan untuk membuka siasatan itu atas kemungkinan urusniaga itu membabitkan antara lainnya rasuah dan jenayah cukai.

Kes akan diketuai pendakwa raya wilayah Valparaiso, katanya.

Mereka yang disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah boleh dihukum penjara lima tahun, tambah Herrera.

Menurut siasatan dua media tempatan, CIPER dan LaBot, yang membocorkan maklumat kepada International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), Dominga dijual kepada ahli perniagaan Carlos Alberto Delano pada harga AS$152 juta. Urusniaga dengan rakan Pinera itu dijalankan di Kepulauan Virgin Britain, yang digelar ‘syurga perlindungan cukai’. – AFP, 9 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen