Jawatan ketua pegawai kesihatan penting dalam syarikat, kata laporan


Hailey Chung Wee Kye

Ketua pegawai kesihatan (CHO)biasanya adalah doktor perubatan dengan pengalaman bekerja di persekitaran rawatan utama atau klinik hospital. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2021.

PERANAN Ketua Pegawai Kesihatan (CHO) sudah menjadi satu kewajipan dalam organisasi besar mahupun kecil di seluruh dunia ketika ini kerana kepemimpinan kesihatan sangat diperlukan, dedah laporan oleh International SOS Foundation.

Pengarah Perubatan International SOS Malaysia Dr Chan Yanjun berkata sekarang ini lebih banyak syarikat tempatan melantik CHO kerana pengurusan masalah kesihatan sangat penting bagi perniagaan ketika pandemik Covid-19 ini.

“Secara tradisional, peranan CHO ada dalam organisasi yang lebih besar, kebanyakannya dalam industri di mana risiko kerja tinggi atau peraturan kesihatan di tempat kerja ketat.

“Sejak kebelakangan ini, fungsi CHO telah berkembang ke syarikat kecil lain, menjadi organisasi dengan lebih banyak pekerja kolar putih atau industri yang bahayanya tidak jelas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata CHO kebiasaannya adalah doktor perubatan dengan pengalaman bekerja di persekitaran rawatan utama atau klinik hospital, dengan ada yang mempunyai kelayakan lebih tinggi seperti menjadi pakar kesihatan awam atau doktor kesihatan sebenar.

“Dalam kes tertentu, bergantung pada sifat syarikat, beberapa majikan mungkin nampak calon yang ada Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) atau Sarjana Pentadbiran Kesihatan (MHA) sebagai kelebihan atau syarat tambahan,” kata Chan.

Tambahnya CHO boleh menjadi lantikan dalaman atau disediakan dari luar mahupun kedua-duanya sekali.

“Mereka mungkin ada pegawai perubatan dalaman untuk penuhi keperluan kesihatan dan kesejahteraan segera, disokong oleh penasihat luar untuk melakukan tugas-tugas tertentu atau untuk menggerakkan penglibatan kawasan tertentu.

“Walau apa pun, disarankan untuk lantik penasihat luar lebih awal berbanding terlewat.

“Kewujudan penasihat penting, sama seperti perniagaan yang faham pentingnya menyediakan pasukan pengurusan krisis lebih awal,” katanya.

Chan menjelaskan peranan CHO melangkaui aktiviti sumber manusia (HR) serta eksekutif kesihatan dan keselamatan (HSE) sehari-hari, di mana ia memikul tanggungjawab perubatan yang menyeluruh untuk syarikat.

“Tugas teras CHO merangkumi pengurusan masalah yang berkaitan dengan kesihatan, dari tindak balas kecemasan, pengurusan peristiwa genting, cuti perubatan, program kesihatan pekerjaan dan persekitaran, antara muka kesihatan masyarakat hingga kepemimpinan dan pengurusan organisasi perubatan.

“CHO juga bekerjasama dengan jabatan lain seperti keselamatan global, pengawasan produk, sumber manusia, ketua pegawai eksekutif dan lembaga pengarah bagu mengembangkan belanjawan, protokol tempat kerja dan program kesihatan dalaman,” katanya.

Di Malaysia, undang-undang utama yang berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan pekerja adalah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA). – 9 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen