Ujian kendiri Covid-19 kini jadi norma baharu


Raevathi Supramaniam

Semakin ramai orang melakukan ujian kendiri di rumah untuk memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2021.

NORMA baharu Lisa Yap adalah dengan membuat ujian kendiri Covid-19 sebelum melawat kedua orang tuanya.

Peguam berusia 30 tahun itu berkata beliau buat demikian bagi menyedapkan hatinya selain tidak mahu dijangkiti virus itu.

“Ibu bapa saya berumur lebih 70 tahun. Kesihatan mereka tidak berapa baik. Sekarang saya sudah kembali ke pejabat, bekerja sepenuh masa, jadi bila saya melawat mereka, saya buat ujian kendiri terlebih dahulu supaya saya dapat pastikan saya negatif.”

Kit ujian kendiri Covid-19 terus menjadi barang popular dalam senarai membeli-belah, namun penjualan di beberapa farmasi runcit telah merosot, tidak seperti ketika pertama kali diperkenalkan kepada umum sebulan lepas.

Farmasi juga perlu bersaing dengan kedai runcit, pasar raya dan penjualan dalam talian, yang diizinkan untuk menjualnya, sesuai dengan dasar kerajaan untuk menyediakan peralatan tersebut secara meluas.

Chan, ahli farmasi di Straits Pharmacy di Melaka, berkata penjualan kit ujian kendiri itu bergantung pada lokasi farmasi dan lalu lintas di kawasan itu.

“Pada mulanya, kami jual sekitar 200 hingga 300 kit setiap hari, sekarang sekitar 30 hingga 40,” kata Chan, yang meminta dikenali hanya dengan nama keluarga sahaja.

“Setakat ini, kami sudah jual lebih kurang 1,500 kit. Sebahagian besar orang sudah ada kit ujian di rumah, yang lain cuma beli bila perlu buat sahaja, macam beli Panadol bila anda sakit kepala.

“Tidak seperti pada awalnya di mana kit ujian cuma tersedia di farmasi. Kini anda boleh beli di tempat seperti Mydin dan kedai runcit berdekatan anda. Jadi, itu juga mempengaruhi berapa unit yang dijual. “

Di Kuala Lumpur, seorang ahli farmasi di Desa Sri Hartamas, yang kedainya sebahagian daripada rangkaian runcit, berkata kedainya sudah menjual lebih 10,000 unit sejak kit itu masuk dalam pasaran.

“Kami nampak lonjakan jumlah kit ujian yang dijual setiap hari bila harganya diturunkan, sementara untuk oksimeter nadi, kami masih jual lebih kurang 100 unit sehari,” katanya, meminta tidak disebutkan namanya kerana ibu pejabatnya tidak mengizinkannya bercakap dengan media.

Beliau menjangkakan penjualan kit ujian kendiri akan meningkat lagi apabila lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula dan perjalanan rentas negeri dibuka.

Farmasi lain yang terletak berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont Kiara berkata mereka juga telah menyaksikan lonjakan penjualan kit ujian kendiri.

“Setakat ini, kami sudah jual lebih kurang 5,000 kit. Setiap hari kami jual sekitar 50 kit. Kedai kami dekat dengan sekolah antarabangsa dan ada pejabat di sini. Ramai pelanggan kami dari sini,” kata ahli farmasi yang bertugas yang juga tidak mahu disebutkan namanya kerana tidak diberi kebenaran bercakap dengan media.

Tambahnya terdapat lonjakan penjualan sebelum gelembung pelancongan Langkawi dilancarkan pada 16 September, tetapi sekarang sudah menurun.

Farmasi bebas di Overseas Union Garden, Kuala Lumpur, berkata penjualan kit ujian merosot secara drastik kerana persaingan.

“Kami perlu bersaing dengan rantaian farmasi lain jadi kami cuma dapat jual lebih kurang satu atau dua unit sehari. Setakat ini kami sudah jual lebih kurang 2,000 unit,” kata ahli farmasi yang tidak mahu namanya didedahkan.

Kerajaan pertama kali memberi kelulusan bersyarat untuk dua kit ujian kendiri Covid-19 pada 20 Julai. Sehingga 24 Oktober, kini terdapat 24 kit ujian kendiri yang telah mendapat persetujuan bersyarat dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan.

Harga kit ujian dikawal dan telah diturunkan dari antara RM28 hingga RM40 menjadi RM16 untuk harga borong dan RM19.90 untuk jualan runcit yang boleh diakses oleh golongan B40. Harga mungkin akan dikurangkan lagi pada akhir tahun ini, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz.

Kit ujian kendiri Covid-19 kini jadi barang popular, menyebabkan farmasi perlu bersaing dengan kedai runcit, pasar raya dan jualan dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2021.

Ujian kendiri norma baharu

Ramai di antara mereka yang sering melakukan ujian kendiri di rumah berkata mereka membuatnya untuk jaga keselamatan diri dan orang sekeliling.

Mereka berkata sudah menjadi kebiasaan untuk buat ujian kendiri sebelum bertemu dengan orang tua mereka, setelah seharian keluar, atau ketika mereka rasa tidak sihat.

Mala Subramaniam, 35, berkata pandemik Covid-19 membuatnya sedikit paranoid sehingga beliau melakukan ujian kendiri setiap kali merasa tidak sihat. Ini bagi menghilangkan kemungkinan yang beliau dijangkiti virus itu.

“Ada satu minggu saya rasa sakit dan gejala saya hampir sama dengan pesakit Covid-19. Saya demam dan cirit-birit.

“Daripada pergi ke doktor, saya buat ujian kendiri cuma untuk pastikan bukan Covid. Ternyata cuma demam biasa dan saya pulih selepas beberapa hari,” katanya.

Sementara itu, Susannah Lim, 29, berkata beliau hanya menggunakan kit ujian kendiri setelah menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

“Saya tidak buat ujian secara berkala. Cuma bila saya diberitahu yang saya kontak rapat dengan pesakit Covid-19.”

Pada 13 September, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 107,421 kes Covid-19 pada tarikh itu telah dikesan dengan menggunakan kit ujian kendiri, atau daripada 788,919 ujian antigen RTK.

Bagaimanapun, terdapat banyak kit ujian kendiri yang menimbulkan masalah kepada farmasi runcit iaitu bagi memsastikan orang ramai tahu bagaimana menggunakannya dengan cara yang betul.

Chan, ahli farmasi di Melaka, berkata kedainya menerima panggilan dari orang ramai yang beli kit dari tempat lain, bertanyakan beliau bagaimana menggunakannya.

“Bila orang ramai beli kit ujian bukan dari farmasi, kadang-kadang penjual tidak terangkan dengan bagus cara untuk guna kit itu. Akhirnya pembeli akan dapat hasil yang tidak tepat.

“Kami selalu dapat panggilan daripada pembeli yang minta kami ajar cara guna kit, atau daripada pembeli yang beli dari tempat lain yang datang ke farmasi kami untuk diterangkan cara betul menggunakan kit,” katanya.

Bulan lalu Persatuan Farmasi Malaysia menggesa orang ramai membeli kit ujian kendiri hanya dari farmasi yang berdaftar, yang boleh terangkan dengan jelas cara menggunakannya.

Persatuan itu memberi amaran yang kit itu alat perubatan, bukan mainan, dan perlu diguna dengan car ayang betul bagi mengelakkan hasil tidak tepat, yang kemudiannya akan memburukkan lagi pandemik Covid-19. – 9 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen