Jangan politikkan peruntukan RM15 juta untuk Dong Zong, kata Nga


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming berkata peruntukan RM15 juta diluluskan Putrajaya untuk Dong Zong tidak sepatutnya dipolitikkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Oktober, 2021.

PERUNTUKAN RM15 juta diluluskan Putrajaya untuk Dong Zong tidak sepatutnya dipolitikkan kerana wang berkenaan digunakan bagi tujuan pendidikan, kata Nga Kor Ming.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata peruntukan itu bukan untuk menyokong Dong Zong sebagai satu pertubuhan, tetapi untuk sekolah vernakular di bawah penjagaannya.

“Jangan jadikan anak-anak kami mangsa politik. Wang ini bukan untuk Dong Zong tetapi untuk sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mereka sepatutnya diberikan peruntukan, sama seperti sekolah tahfiz yang juga diberi pembiayaan. Kita tidak sepatutnya diskriminasi mereka yang memilih untuk sekolah ini.

“Jika mereka rakyat, mereka sepatutnya dapat menikmati peruntukan itu. Lihat perkara ini menerusi lensa pendidikan, bukannya politik.”

Ditubuhkan pada 1954, Dong Zong (Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) bertujuan untuk melindungi dan membangunkan pendidikan Cina, pada masa sama berjuang untuk status pendidikan saksama di Malaysia.

Kumpulan itu menetapkan sukatan untuk Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) yang perlu diambil pelajar di 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Pada 1 Oktober, Presiden Dong Zong Tan Tai Kim berkata Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan RM15 juta untuk 63 sekolah Cina persendirian di seluruh negara.

PAS kemudian menggesa Kementerian Pendidikan menjelaskan berkenaan peruntukan itu dan turut mempersoalkan berapa peruntukan diberikan kepada sekolah tahfiz.

Sekolah vernakular wujud sejak 1850 selepas sekolah pertama dibuka di Pulau Pinang, sebelum Malaysia wujud lagi, kata Nga.

Perbezaannya ialah sukatan pelajaran diajar dalam bahasa ibunda masing-masing, berbanding bahasa kebangsaan – Bahasa Melayu, katanya.

“Kita perlu ubah perspekstif, perbezaan kita adalah kekuatan kita, kita patut raikan ini. Jika kita fasih dalam Bahasa Melayu, kita boleh berniaga di Nusantara.

“Jika kita fasih dalam Tamil, kita boleh buka perniagaan di India dan jika fasih berbahasa Mandarin, ada 1.4 bilion orang yang boleh bercakap dalam bahasa ini. Inilah caranya kita bersaing di pentas dunia,” katanya, menambah produk sekolah vernakular seperti dirinya sendiri pun fasih dalam Bahasa Melayu.

Menyentuh subjek dalam UEC, Nga berkata ini juga salah lagi isu pendidikan yang diputarbelitkan menjadi isu politik.

“Secara akademiknya, UEC wujud sejak 1972. Pada masa ini, ia diiktiraf secara antarabangsa, antara lain di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Singapura.

“UEC bukan hanya untuk orang Cina saja, ia terbuka kepada semua bangsa.”

Pelajar Tingkatan 6 di sekolah Cina persendirian menduduki UEC dan ia dianggap setaraf dengan STPM di kebanyakan universiti luar negara.

Bagaimanapun, UEC tidak diiktiraf universiti awam di Malaysia, menyebabkan lepasan UEC yang mahu melanjutkan pelajaran perlu ke universiti swasta atau ke luar negara. – 9 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen