41 terbunuh hospital terbakar di Korea Selatan


Sekurang-kurangnya 41 terbunuh dan puluhan yang lain cedera selepas sebuah bangunan menempatkan rumah penjagaan dan hospital di bandar Miryang, Korea Selatan terbakar. – Gambar AFP, 26 Januari, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 41 terbunuh dalam kebakaran sebuah hospital di Korea Selatan hari ini, lapor agensi berita Yonhap.

Lebih 70 orang pula dilaporkan cedera. Sebelum ini pihak berkuasa mengatakan hanya 31 terbunuh sebelum angka itu meningkat dengan penemuan mayat lain.

Rakaman video dan gambar menunjukkan sebuah helicopter terbang di atas bangunan itu di Miryang, dengan asap tebal dan beberapa trak bomba turut kelihatan.

Bangunan lima tingkap itu menempatkan sebuah rumah penjagaan dan hospital, setakat ini 31 orang dilaporkan terbunuh lapor akhbar itu yang memetik kenyataan ahli bomba di tempat kejadian.

Sebelum ini agensi kebakaran nasional mengatakan 19 terbunuh.

“Dua jururawat mengatakan mereka melihat api tiba-tiba muncul di bilik kecemasan,” kata Ketua Bomba Choi Man-Woo tetapi punca kebakaran masih dalam siasatan.

Semua pesakit sudah dipindahkan, katanya.

“Mangsa adalah dari rumah penjagaan dan hospital itu. Ada yang meninggal dalam perjalanan ke hospital lain.”

Gambar menunjukkan mangsa terselamat dibawa keluar dengan selimut dan ahli bomba berusaha memasuki bangunan terbakar itu selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Hampir 200 orang berada dalam bangunan Hospital Sejong itu ketika kebakaran berlaku, kata polis.

Tragedi itu berlaku selepas kebakaran awal bulan ini membunuh 29 orang di sebuah kelab kecergasan di bandar Jecheon, Korea Selatan yang dikatakan berpunca daripada pintu kecemasan tidak mencukupi, bahan mudah bakar serta parkir kereta haram yang menyukarkan kenderaan kecemasan untuk memasuki tempat kejadian. – AFP, 26 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen