BOS Tesla Elon Musk memberitahu para pelabur pada Khamis pembuat kenderaan elektrik terkemuka itu akan memindahkan ibu pejabatnya dari Silicon Valley ke Texas.
“Saya gembira dapat umumkan yang kami akan pindahkan ibu pejabat kami ke Austin, Texas,” kata Musk pada mesyuarat tahunan pemegang saham.
“Supaya lebih jelas, kami tetap akan terus kembangkan kegiatan kami di California.”
Musk berkata penjualan Tesla berkembang pesat, dan syarikat itu meningkatkan penghantaran walaupun kekurangan cip komputer dan komponen lain.
Tesla menyasarkan untuk tingkatkan pengeluaran di kilang di Fremont, California, sekitar 50 peratus, menurut Musk.
Namun kilang itu mencapai had berapa banyak yang dapat ia tangani, katanya.
“Ketika pertama kali kami masuk ke sana, bagai kanak-kanak; kami kecil sahaja berbanding kilang gergasi ini,” kata Musk mengenai kilang sulungnya di Silicon Valley.
“Sekarang, ia sudah melimpah ruah.”
Katanya kos sara hidup di Silicon Valley lebih tinggi buat pekerja, dengan harga rumah yang mahal membuatkan pekerja tidak mampu memiliki, yang sering berakhir dengan perjalanan panjang. – AFP, 8 Oktober, 2021.
Komen