KAPAL selam nuklear Amerika Syarikat (AS) mengalami kerosakan selepas terlanggar objek tidak dikenal pasti ketika melakukan operasi dasar laut di Asia, kata Angkatan Laut AS pada Khamis.
USS Connecticut, kapal selam serang berkuasa nuklear, “melanggar sebuah objek ketika menyelam pada 2 Oktober petang, ketika beroperasi di perairan antarabangsa di wilayah Indo-Pasifik,” kata angkatan tentera laut dalam satu kenyataan.
Ia berkata tiada kecederaan mengancam nyawa, tetapi USNI News, sebuah laman web khusus mengenai berita tentera laut, melaporkan lebih 10 anak kapal mengalami kecederaan ringan dan sederhana.
USNI News juga berkata kapal selam itu beroperasi di Laut China Selatan, dengan Angkatan Laut AS berusaha untuk mencabar tuntutan China terhadap wilayah yang menjadi pertikaian.
Tentera laut berkata sedang menyiasat sejauh mana kerosakan itu.
“Kapal selam itu tetap dalam keadaan selamat dan stabil. Ruang dan lojo nuklear USS Connecticut tidak terjejas dan masih beroperasi sepenuhnya,” katanya.
USNI News berkata kapal itu kini menuju ke pangkalan AS di Guam. – AFP, 8 Oktober, 2021.
Komen