Konsep asimilasi ketinggalan zaman, Ramasamy beritahu Dr Mahathir


P Ramasamy berkata Dr Mahathir Mohamad ada peluang mengubah dasar pemisahan kaum tetapi tidak berbuat demikian kerana sedar manfaatnya kepada elit Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2021.

DAKWAAN bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad politik berasaskan kaum terus berkembang di Malaysia kerana kurangnya asimilasi adalah cara berfikir ketinggalan zaman, kata pemimpin DAP P Ramasamy.

Idea asimilasi adalah model politik ketinggalan zaman bagi menangani dasar pecah dan perintah British, tetapi pemimpin pasca-penjajah seperti Dr Mahathir tidak melakukan apa-apa untuk menghapuskan dasar seperti itu kerana ia memberi kelebihan kepada mereka, kata Ramasamy.

“Mahathir berpeluang memansuhkan kaedah pemerintahan ini, tetapi kerana model etnik dengan dominasi Umno berguna baginya, beliau terus menggunakan model perkauman ini kerana ia membolehkan pengekstrakan lebihan ekonomi tanpa had untuk golongan elit Melayu dan pada masa sama memuaskan golongan elit bukan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

“Model politik yang mendapat restu daripada British adalah gabungan daripada etnik Umno, MCA dan MIC.

“Gabungan inilah yang menghalang eksperimen politik lain yang melangkaui etnik.”

Ramasamy, yang merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dan timbalan pengerusi DAP negeri, berkata rakyat Malaysia bukan tidak mahu melepaskan identiti mereka, tetapi mereka sudah terbiasa dengan model ini selama beberapa dekad.

“Tiada gunanya menyalahkan orang Malaysia kerana ingin mempertahankan identiti yang terpisah kerana ini dilemparkan kepada mereka dalam lingkungan politik yang dimiliki sejarah sekian lama,” katanya.

“Sekarang rakyat Malaysia membayar harga yang tinggi dan mahal daripada politik model pemerintahan perkauman.”

Ramasamy menegaskan ia mungkin tidak menguntungkan status quo orang Melayu untuk meninggalkan model politik semasa, “tambahan dengan kenyataan model perpecahan sekarang memastikan pengekstrakan (kekayaan) tidak dihalangi oleh orang Melayu elit”.

“Daripada mengharapkan model asimilasi, saya rasa yang terbaik boleh dilakukan kerajaan ketika ini adalah dengan mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan kesan polarisasi kaum dan agama terburuk di negara ini.”

Pada Rabu, Dr Mahathir menulis di blognya berkata politik berasaskan kaum terus berkembang di Malaysia kerana masyarakat berkeras mempertahankan budaya dan identiti negara asal mereka.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata tidak seperti di negara lain apabila pendatang menggunakan bahasa dan budaya tempatan selepas menerima kewarganegaraan, ini tidak berlaku di Malaysia.

Ini katanya, adalah alasan mengapa partinya Pejuang berasaskan kaum Melayu - sebagai alternatif kepada pengundi Melayu untuk mengalahkan Umno. – 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen